ByOleh: Mohd Faizal Mansor
LABUAN, 2 Nov (Malaysiaaktif ) – Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) berusaha menyuntik semangat dan motivasi pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya yang telah selesai Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini untuk berjaya ke sekolah berasrama penuh. Usaha ini dilakukan melalui Jerayawara atau “Roadshow” SMSL 2016 ke seluruh Labuan.
Program ini bertujuan mempromosikan kehebatan SMSL dalam pelbagai bidang seperti matematik, robotik muzik, inovasi, seni tari dan sebagainya bagi menarik minat pelajar untuk memasuki sekolah ini ujar Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Labuan, Maimoon Hj.Matnoh ketika membacakan teks ucapan Pengarah Jabatan Pengarah Pendidikan Labuan, ketika merasmikan program Roadshow tersebut di Perkarangan Bangunan Ujana Kewangan, di sini, pagi tadi.
Menurut Pengarah Program tersebut yang juga guru di SMSL, Maziah Yusof, untuk tahun ini program ‘Roadshow’ SMSL juga turut diadakan di Daerah Ranau, Sipitang, Beaufort dan Tuaran Sabah, bagi tujuan promosi bagi pelajar-pelajar lepasan UPSR yang berkelayakan untuk memasuki pengajian Tingkatan 1 di SMSL.
Melalui pencapaian-pencapaian gemilang dalam akademik mahupun kokurikulum di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa seperti pencapaian “Gold Medal” untuk Anugerah Inovasi di ‘Future Scientists Conference 2016’ di Universiti Kebangsaan Malaysia yang diadakan pada bulan Julai yang lalu dapat menarik minat pelajar ke di satu-satunya sekolah berasrama penuh yang ada di Labuan
Menurut Presiden Kelab Tarian SMSL, Mohd Aiem Bakrin, 16, melalui program tersebut, ia dapat meramaikan lagi para pelajar khususnya dari Labuan untuk belajar di SMSL.
“Melalui pendekatan program ini, bakal-bakal pelajar tingkatan 1 dapat melihat sendiri kejayaan mahupun produk-produk inovasi yang telah dihasilkan oleh SMSL dan secara tidak langsung mereka akan berminat untuk menyambung pelajaran di SMSL” ujar adik Norman Bakri, 16, yang juga pelajar tingkatan empat di SMSL.
-MRR