Oleh Fauzrina Hj Bulka
ALOR GAJAH, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Seronok belajar dan mendapat ilmu baru membuatkan Norlizan Abdullah, 46, tidak akan ketinggalan untuk turut serta dalam setiap kursus yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gadek.
“Selain dapat ilmu, seronok dapat kenalan baru, saya juga dapat belajar cara mudah penyediaan masakan selain ada cabutan bertuah. Menu yang kita buat juga kita boleh bawa balik,” ujarnya.
Menurutnya, ada rakan-rakan peserta bersamanya yang turut berminat untuk berniaga selepas belajar dalam kursus yang diadakan kerana ia sangat mudah untuk dipraktikkan.
“Kalau boleh lepas ini, kolej komuniti bolehlah anjurkan kelas jahitan pula kerana banyak memberi manfaat kepada suri rumah dan menambah pendapatan keluarga,” katanya lagi.
Norlizan ditemui di RTC Gadek, yang menjadi tuan rumah untuk aktiviti yang dianjurkan bersama Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM) yang melibatkan seramai 150 peserta daripada penduduk setempat yang ingin menjadikan kemahiran sebagai pendapatan tambahan.
EXCO Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO, Datuk MS Mahadevan Sanacy berkata melalui penglibatan masyarakat yang terdiri daripada golongan suri rumah ini diharapkan mampu memberikan impak dalam membudayakan latihan kepada komuniti setempat.
“Saya berharap dengan program yang dijalankan pada hari ini dapat memperluaskan keupayaan komuniti dalam menambah pendapatan seisi keluarga di samping memperkenalkan kursus-kursus yang ditawarkan di Kolej-kolej Komuniti,” katanya.
Melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini, beberapa kursus pendek telah dilaksanakan iaitu kursus membuat Deep Fried Breaded Chicken Serve with Mushroom Sauce, Chips dan Coleslaw, Puding Triffle, Fruits Punch dan Kursus Asas Microsoft Word.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek itu, diharapkan setelah berlangsungnya program ini, masyarakat setempat mendapat pendedahan dan kemahiran serta dapat membuka peluang kerjaya untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Kolej Komuniti memainkan peranan yang penting dalam memberi input dan output yang berkesan terhadap komuniti. Saya juga percaya program sebegini dapat memberikan kesedaran dan mengukuhkan lagi ikatan tali persaudaraan,” ujar Mahadevan.
Difahamkan, Kolej Komunti juga menawarkan kursus sepenuh masa yang terdiri daripada program Hotel Katering, Program Fesyen dan Pakaian, Program Teknologi Elektrik dan Program Servis Kenderaan Ringan.
Pengambilan pelajar sesi November 2016 di kolej komuniti seluruh negara masih dibuka. Orang ramai yang berminat boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di mana-mana kolej komuniti yang berhampiran.