Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Terkejut Ikan Yu Paus Tersangkut di Jaring

By 16 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Dua beradik nelayan yang menangkap ikan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Hanyut di sini terperanjat apabila mendapati seekor ikan yu paus tersangkut di jaringnya, awal pagi tadi.

Menurut nelayan tersebut, Saedon Ibrahim, 56, ikan sepanjang lima meter dan seberat kira-kira 1.5 tan itu disedari tersangkut setibanya mereka di darat selepas empat jam menarik bebanan.

Saedon Ibrahim - "Pertama kali jumpa ikan yu paus sebesar ini."

Saedon Ibrahim – “Pertama kali jumpa ikan yu paus sebesar ini.”

Tambahnya, dia bersama adiknya Mahat Ibrahim, 55, hanya menangkap ikan spesies Tenggiri dan Parang sahaja.

“Selama lebih 20 tahun saya menjadi nelayan, ini kali pertama saya jumpa spesies ikan ini dengan saiz yang besar begini. Setahu saya, spesies begini sukar di temui di perairan ini,” katanya ketika ditemui di Hub Perikanan Muara Sungai Duyong di sini, tadi.

Kata Saedon lagi, ombak memang agak beralun hari ini memandangkan angin yang bertiup juga tidak menentu dan mujur mereka berjaya menarik jaring tersebut menggunakan mesin.

Orang ramai berkumpul untuk melihat sendiri ikan yu paus yang jarang dapat dilihat di Melaka.

Orang ramai berkumpul untuk melihat sendiri ikan yu paus yang jarang dapat dilihat di Melaka.

“Saya terpaksa menarik semula ikan itu, sebab nak betulkan semula jaring yang kusut, dan bebaskannya di laut. Harap-harap ikan itu masih hidup,” kata Saedon.

Akibat yu paus tersebut, jaringnya mengalami kerosakan teruk dan kerugian dianggarkan sebanyak RM7,000.

Sementara itu, EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, ikan berkenaan telah dilepaskan oleh Jabatan Perikanan dengan bantuan beberapa orang nelayan.

“Yu Paus tersebut dilepaskan semula ke perairan yang lebih selamat di sekitar Pulau Undan sebab ia merupakan spesis marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya ketika dihubungi Malaysiaaktif.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda