Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Pesara JaPen Aktif Bantu Masyarakat

By 29 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Setelah tiga tahun bersara dari Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), namun Ahmad Dhabal, 60, masih aktif membantu JaPen dalam menyampaikan maklumat dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat sekitar.

“Selepas bersara dari JaPen, pesara-pesara masih ada ruang untuk bercakap kerana masyarakat tidak pernah lupa pada bekas kakitangan kerajaan seperti saya yang dahulunya rapat dengan mereka,” ujarnya.

Ahmad yang sebelum ini merupakan Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah kini dilantik sebagai Pengerusi Masjid di Kampung Selandar. Dia sering diberikan ruang untuk menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai.

“Saya lihat ramai pesara kita berada dalam masyarakat dan dilantik memegang jawatan di surau atau masjid dengan alasan kita sudah biasa bertemu masyarakat dan mampu mengendalikan sesuatu majlis, dan akhirnya terpulang pada pesara sama ada terima atau tidak tawaran itu,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan kemajuan media sosial kini sangat membantu jabatan mendapat maklumat dan respons daripada masyarakat tentang sesuatu isu dengan lebih pantas, seperti yang dilakukan oleh JaPen sekarang.

Malaysiaaktif menemui beliau didalam Majlis Apresiasi Komuniti 1 Malaysia (K1M) dan Sambutan Seabad JaPen yang dijalankan di Umbai, di sini bersama 450 jemputan termasuk rakan strategik JaPen, pada malam Sabtu.

K1M Tanjung Bidara memenangi K1M Terbaik pada majlis tersebut yang dirasmikan oleh EXCO Penerangan, Komunikasi dan Koperasi, Datuk Latiff Tamby Chik.

Menurut Naib Pengerusi K1M Tanjung Bidara, Osman Saidin, mereka sebagai komuniti yang dilantik merupakan mata dan telinga kerajaan akan sentiasa membantu apa sahaja yang difikirkan perlu supaya dasar-dasar kerajaan itu sampai kepada masyarakat.

3

“JaPen daerah Alor Gajah banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada kami dan melakukan pelbagai program bersama masyarakat selain gotong royong dan lawatan ke komuniti di negeri lain,” katanya.

Jelasnya, banyak info yang dapat dipelajari dengan mengadakan lawatan ke K1M luar dan mereka akan cuba mempraktikkan ilmu-ilmu yang diperoleh untuk memantapkan lagi komuniti mereka sebagai komuniti yang terbaik.

Sementara itu, Pengarah JaPen Melaka, Lim Ann Teck berkata majlis tersebut merupakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada komuniti yang banyak membantu jabatan dalam melaksanakan program menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Dengan bantuan rakan strategik, kita dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian informasi kepada masyarakat pelbagai kaum. Di Melaka sahaja, ada 42 K1M yang berdaftar daripada 1,500 K1M seluruh Malaysia.

6

“Kita sedang mengadakan penstrukturan semula untuk menambah jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah bagi membantu memperkemaskan lagi pentadbiran di peringkat komuniti.

“Jabatan akan berbincang dengan ahli jawatankuasa K1M yang tidak aktif dan jika perlu dibubarkan, kita akan menawarkan kepada penduduk lain yang berminat untuk menubuhkan K1M di kawasan mereka,” katanya.

Jelasnya, K1M merupakan rakan strategik jabatan, keaktifan K1M sebagai penggerak bersama melaksanakan program jabatan untuk rakyat sememangnya dituntut.

“Peranan mereka lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum 14 yang dijangka diadakan pada tahun hadapan amat penting kerana mereka merupakan opinion leader di peringkat akar umbi,” ujarnya lagi.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda