Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus (Sabah)
KOTA KINABALU, 29 Nov (Malaysiaktif) – Empat beradik kepada seorang ibu yang bertugas sebagai pembantu am pejabat berjaya cipta kejayaan bersama apabila masing-masing menerima Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan serentak pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali ke 18.
Baidi Baddiri, 42, Basni@Basri Baddiri, 39, Nazari Baddiri, 34, dan Ranidah Baddari, 32, menerima ijazah daripada Canselor UMS, Tun Dr. Juhar Datuk Mahiruddin pada sidang pertama majlis konvokesyen berkenaan di Dewan Canselor UMS pada Sabtu.
Menurut abang sulung Baidi, kejayaan ini amat bermakna bagi mereka terutama apabila adik-adik bersetuju dengan saranannya untuk sambung belajar dalam jurusan sama.
“Idea ini terhasil apabila adik saya, Ranidah yang bertugas sebagai guru di Sarawak, berpindah ke Sabah. Saya sarankan kepada mereka untuk mengambil jurusan sama memandangkan kami tidak lagi tinggal berjauhan dan untuk memudahkan kami belajar bersama.
“Ternyata idea ini banyak memberi kebaikan kepada kami di dalam setiap tugasan dan pergerakan di sepanjang pengajian separuh masa yang kami tempuhi,” ujar Baidi.
Baidi yang juga merupakan seorang pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) berkata pengajian mereka berempat lebih mudah kerana dapat berbincang serta bertukar pandangan lebih kerap terutama ketika cuba memahami sesuatu perkara.
“Memang sukar jika terdapat salah seorang daripada kami yang tidak sependapat tetapi sikap saling memberi dorongan antara satu sama lain memberikan semangat hingga berjaya pada hari ini,” kongsi Baidi.
Tambah Nazari, dugaan dalam kehidupan telah menyalakan tekad mereka untuk terus menuntut ilmu bagi mengubah masa depan keluarga.
“Kami berasal daripada keluarga yang sederhana kerana ayah hanya bekerja kampung dan meninggal dunia pada 2001. Ibu kami, Rosa Manjakop, 58 hanya seorang Pembantu Am Pejabat.
“Pada 8 Disember 2015, kami menerima dugaan apabila rumah di kampung hangus dalam kejadian kebakaran menyebabkan komputer riba dan kertas kerja yang perlu diserahkan kepada pensyarah habis dijilat api.
“Pada masa itulah kami benar-benar memberi dorongan antara satu sama lain serta saling menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan,” tegasnya berkongsi pengalaman yang terjadi dua minggu sebelum peperiksaan mereka.
Menyentuh tentang perancangan masa depan, mereka tidak menyembunyikan hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Memang dalam perancangan kami untuk melanjutkan pengajian Phd bersama-sama seperti yang kami lakukan sekarang. Kami tidak akan toleh belakang lagi dan terus menguatkan azam untuk menempuh apa jua cabaran mendatang,” kata Ranidah yang ditemui media.
Basni@Basri kini bertugas sebagai guru di SK Mansud, Kuala Penyu, Nazari pula mengajar di SMK Tun Fuad Stephens, Tamparuli manakala Ranidah juga bertugas sebagai guru di SK St. Stephen, Kuala Penyu.
-SF