Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohorViralWilayah Persekutuan

Pusat Ternakan Kupang Sasar 15,000 Pelancong Pada 2017

By 2 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Ramly Yusoff (Putrajaya)

JOHOR, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 15,000 pelancong disasarkan melawat kampung ekopelancongan Sungai Melayu, Pulai, di sini pada 2017.

Demikian menurut Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad, ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif.

Tambahnya, semenjak diisytiharkan sebagai kampung ekopelancongan pada 5 Oktober 2013 lalu, pelbagai usaha dan perancangan strategik ekopelancongan telah dilaksanakan bagi memenuhi kehendak dan cita rasa pelancong tempatan dan antarabangsa yang setakat ini berjumlah 10,000 orang.

“Ahli jawatankuasa kemajuan kampung ini telah merancang pakej pelancongan yang menarik, khasnya melihat dan mengalami sendiri proses ternakan kupang terbaik di Malaysia di sekitar Selat Tebrau.

pandak-ditemu-bual-oleh-wartawan

Pandak (kiri) ketika ditemu bual oleh wartawan.

 

“Selain itu diadakan aktiviti menangkap ketam dan ikan semasa pelancong menaiki bot secara santai melawat keindahan hutan bakau serta suasana kampung tradisi di sekitar Selat Tebrau dan Danga Bay,” jelas Pandak yang juga merupakan Penghulu Kampung Sungai Melayu.

Tambah Pandak, bagi menarik minat pelancong antarabangsa, penduduk kampung telah diberikan kursus supaya lebih mesra dan mampu bertutur pelbagai bahasa, terutamanya Bahasa Inggeris.

Sementara itu, satu pertandingan Treasure Hunt yang melibatkan penyertaan daripada media dalam dan luar negara mengelilingi Selat Tebrau dan Danga Bay mengunakan bot akan diadakan pada Februari 2017.

melihat proses pembiakkan kupang

Melihat proses pembiakan kupang.

 

Kampung Sungai Melayu turut menyediakan kraftangan, cenderamata dan produk industri kecil seperti keropok kupang dan belacan udang baring, di samping masakan makanan laut yang boleh memikat pelancong seperti hidangan ikan sembilang serta kupang.

Terletak tujuh kilometer dari Pusat Pentadbiran Negeri Johor di Nusajaya, Kampung Sungai Melayu yang telah wujud semenjak 120 tahun lalu ini pernah menjadi laluan utama tentera Jepun untuk menawan Singapura.

 

– AH

Tinggalkan komen anda