Laporan / foto oleh Fauzrina Hj Bulka
JASIN, 25 Dis (Malaysiaaktif) — Enam buah kerusi yang disediakan untuk program gunting rambut secara percuma kelihatan penuh dan diisi silih berganti oleh penduduk setempat yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut secara percuma.
Program yang diadakan di Kelab Rukun Tetangga (KRT) Sempang Kerayong itu mendapat sambutan kira-kira 40 keluarga yang membawa anak-anak mereka ketika Malaysiaaktif meninjau tempat tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Menurut peniaga, Alinah Mustafa, 41, mereka mengambil kesempatan untuk menyertai program ini untuk mendapatkan perkhidmatan percuma kerana mahu menjimatkan wang kerana perniagaan mereka terhenti selepas dilanda ribut dua hari lalu.
“Kami berniaga makanan di Kampung Lipat Kajang dan akibat ribut yang berlaku pada Khamis lalu, bumbung dan kerusi meja di gerai saya musnah dan saya tak dapat berniaga,” katanya.
Beliau belum berkesempatan menyediakan segala kelengkapan sekolah untuk tiga orang anaknya kerana menghadapi masalah kewangan.
“Pendapatan keluarga kami bergantung kepada perniagaan, jadi apabila gerai ditutup sememangnya menjejaskan persiapan sekolah. Kos untuk tiga orang anak kira-kira RM1,000 belum termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) dan duit buku,”katanya.
Alinah berkata anaknya turut menerima wang Bantuan Persekolahan sebanyak RM100, namun ia akan hanya diagihkan kepada pelajar pada setiap awal persekolahan.
“Pendapat saya, seeloknya wang tersebut diberi sebelum penggal persekolahan bermula sebab boleh menampung pembelian buku. Kami juga penerima BR1M, tapi sudah habis digunakan semenjak diterima pada September lalu,”katanya lagi.
Sementara itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Rim, Datuk Wira Ghazale Mohamad, program ini disediakan untuk penduduk dalam DUN Rim, melibatkan semua kaum dan dibuka hanya untuk anak-anak di sekolah rendah hingga menengah.
“Kita ingin memperingatkan anak-anak untuk bersiap sedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula tahun hadapan,” kata Ghazale.
“Saya tadi ada mengingatkan ibu bapa jangan menyerahkan segalanya pada sekolah dan guru-guru sahaja, peranan ibu bapa juga penting untuk menegur dan mendidik anak-anak supaya jangan leka bermain di rumah dan memastikan mereka turut membuat ulangkaji pelajaran,” katanya.
Program yang bermula pada pukul 9.00 hingga tengah hari turut menyediakan sebanyak 50 hamper untuk anak-anak yang datang menggunting rambut.
“Kita buat sampai tengah hari sebab sukarelawan yang membantu hari ini juga adalah mereka yang mempunyai kedai gunting rambut sendiri, dan mereka perlu buka kedai mereka pula selepas melakukan khidmat sosial di sini,”ujarnya.
Ghazale juga memberitahu\, sebelum ini pihak DUN Rim telah menyampaikan bantuan persekolahan daripada Majlis Agama Ismalam Melaka (MAIM) dan Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) kepada asnaf dan pelajar sekolah rendah.
“Namun begitu saya telah maklumkan kepada ketua masyarakat, jika ada lagi keluarga yang perlukan bantuan dan layak untuk menerima, boleh maklumkan kerana kami dah bincang dgn MAIM dan TAPEM untuk memberi bantuan dalam saat-saat akhir ini,”katanya.