Skip to main content
Berita TempatanLabuanWilayah Persekutuan

Keluarga Jurinah Terharu Terima Rumah NBOS7

By 7 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto : Jeffrey Nian

LABUAN, 6 DIS (Malaysiaaktif) – Tidak dapat digambarkan perasaan terharu dan gembira bagi seorang ibu tunggal, Jurinah Zainal, 38, apabila menerima kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 atau NBOS7 pada hari Jumaat lepas kerana rumah asal beliau terbakar pada 18 November tahun lalu.

Sejak rumahnya terbakar ditambahkan serta suaminya meninggal pada bulan Mac yang lalu, ia ibarat seperti “sudah jatuh di timpa tangga”.

Justeru dengan pemberian rumah baru hasil projek NBOS 7: My Beautiful Neighbourhood 2014 yang diterajui Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan ini umpama sumbangan istimewa kepada keluarga Jurinah.

Ujar Jurinah, penerimaan rumah tersebut dapat meringgankan beban beliau sebagai ibu tunggal kepada lima orang anak hasil perkongsian bersama arwah suaminya, Jefri Kasrah.

Penyerahan kunci rumah tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli.

Menurut Datuk Rozman, slogan kerajaan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” memang benar-benar mengutamakan rakyat dan golongan yang memerlukan khususnya golongan ibu tunggal seperti Puan Jurinah.

Beliau memuji pembabitan JBPM dalam pembinaan semula rumah terbakar di bawah program NBOS 7 ini merupakan satu kerja yang mulia dan patut dibanggakan khususnya menabur bakti kepda golongan yang memerlukan.

Menurut Pengarah JBPM Labuan, Zainal Madasin, kos projek bagi mendirikan rumah keluarga Jurinah berjumlah RM 50 ribu dan hanya mengambil masa lebih kurang dua bulan sejak ia dimulakan pada 22 Jun yang lalu dan ia siap pada 30 Ogos lalu.

Kata Zainal, sejak NBOS7 ini diperkenalkan, JBPM Labuan telah berjaya menyiapkan 3 buah rumah sejak tahun 2013 yang musnah akibat kebakaran dan di mendapat sokongan jabatan dan agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Air, Jabatan Kebajikan Masyarakat demi merealisasikan hasrat tersebut kepada golongan sasar khususnya di Labuan.

Keluarga yang mempunyai ramai tanggungan dan kurang berkemampuan serta mempunyai tanah di atas nama sendiri beserta dengan geran adalah layak menerima bantuan pembinaan rumah yang musnah dalam kebakaran iaitu projek NBOS 7 ini, tambah Zainal

Pihaknya juga turut akan menjalankan program menukar sistem pendawaian elektrik di rumah-rumah kampung yang sudah lama kepada pendawaian yang baru di Labuan ini untuk mengelakkan kebakaran secara lintar pintas disamping mengadakan ceramah kesedaran tentang keselamatan kebakaran kepada penduduk-penduduk kampung, ujarnya lagi.

– MRR

Tinggalkan komen anda