Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

Pos Khairat Takaful Beri Jaminan Masa Panjang

By 14 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Zaharah Ismail & Amirah Ahmad (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 14 Disember (Malaysiaaktif) – Pemohon pelan Pos Khairat Takaful yang berusia antara 18 hingga 70 tahun boleh melanggan dan melindungi pasangan serta tiga orang anak dengan bayaran serendah RM60 setahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, matlamat Pos Malaysia dan Etiqa Takaful adalah untuk menawarkan pelan perlindungan kewangan yang berkualiti dan berpatutan untuk para pelanggan dan membantu menguruskan perbelanjaan kematian dengan lebih mudah dan cepat.

“Kolaborasi antara Pos Malaysia dan Etiqa Takaful dalam menawarkan pelan Pos Khairat Takaful akan memberi faedah jangka panjang kepada kedua-dua belah pihak dan sekaligus akan memberikan kelebihan kepada pelanggan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pos Khairat Takaful, di sini hari ini.

whatsapp-image-2016-12-14-at-3-13-53-pm

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh menyampaikan ucapannya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Berhad, Kamaludin Ahmad berkata, melalui kesinambungan bersama rakan stategik ini, Etiqa Takaful dapat mengembangkan perniagaan apabila produk ini boleh dilanggan dengan mudah di kesemua 697 cawangan Pos Malaysia serta 30 Pos Bergerak dalam negara.

“Kerjasama strategik ini juga mensasarkan keuntungan sebanyak RM10 juta pada tahun hadapan dan seterusnya merangsang pertumbuhan perniagaan bagi kedua-dua pihak, di samping usaha kami untuk mendekati masyarakat dan salah satunya adalah melalui pelan insuran seperti ini yang lebih mudah dan tidak menyusahkan pelanggan,” jelasnya.

whatsapp-image-2016-12-14-at-3-15-14-pm

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Berhad, Kamaludin Ahmad (dua dari kanan) di Sidang Media sejurus selepas Pelancaran Pos

Pelanggan boleh memilih pelan yang lebih tinggi faedahnya dengan bayaran RM80 setahun dan setiap pampasan akan diuruskan selepas penerimaan dokumen yang lengkap.

– AH

Tinggalkan komen anda