Oleh Mohd Baharruddin Bin Mohamad/Foto: Razali Ihi
LIMBANG, 15 Dec (Malaysiaaktif) — Penduduk Limbang menyambut baik peruntukan sebanyak RM100,000 untuk pemasangan alat penghawa dingin di Masjid Jannatul Firdaus di sini.
Peruntukan tersebut diumumkan oleh Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nasar, semasa masjlis Kesyukuran dan Zikir Maulid Peringkat Negeri Sarawak pada Isnin lepas.
Ketua Kampung Sibukang, Alini bin Salleh berkata peruntukan itu mencukupi untuk tujuan tersebut dan rata-rata penduduk Limbang menyambut baik bantuan yang diberikan.
Bagi Ketua Kampung Awat-awat, Lawas, Tamin bin Tahir, walaupun beliau bukan penduduk Limbang namun mereka turut berkongsi kegembiraan di atas kemudahan tersebut memandangkan sebelum ini masjid itu hanya menggunakan kipas untuk keselesaan jemaah.
Bersempena majlis berkenaan, turut diadakan Syarahan Perdana oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Isselahuddin Kameri dan seterusnya diikuti dengan zikir Maulid yang diketuai oleh gabungan kumpulan zikir seramai 200 orang.
Akhir majlis menyaksikan penyampaian hadiah pertandingan Syarahan dan Bercerita sempena sambutan Maulidur Rasul.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Haji Mohamad Morshidi Abdul Gani dan Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dr Abdul Rahman Ismail.
Masjid Jannatul Firdaus berharga RM12 juta yang siap dibina pada 21 April lalu ini telah dirasmikan pada 4 Mei oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.