Skip to main content
GlobalViral

Iraq Lebih Aman Bersama Saddam – Penyiasat CIA

By 5 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

NEW YORK, 5 Jan — Individu pertama yang ditugaskan menyoal siasat Saddam Hussein selepas Presiden Iraq itu ditahan oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2003, mengakui bahawa pemimpin tersebut tidak membangunkan senjata pemusnah seperti yang didakwa oleh Washington.

Malah bekas penganalisis Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Nixon turut mengakui bahawa rantau Arab akan lebih aman sekiranya Saddam tidak digulingkan oleh tentera penceroboh.

Nixon ditugaskan oleh kerajaan AS untuk menyiasat Saddam selepas pemimpin itu ditemukan bersembunyi dalam sebuah lubang pada Disember 2003.

Menurut Nixon, White House mahukan jawapan sama ada terdapat sebarang bukti menunjukkan Saddam membangunkan senjata pemusnah yang boleh mengancam keselamatan AS atau rantau Arab ketika itu.

Namun selepas menyoal Saddam dan penasihatnya, Nixon mendapati bahawa program nuklear Iraq sudah dihentikan beberapa tahun sebelum tentera AS bersama sekutunya menceroboh Iraq atas alasan mahu memusnahkan senjata tersebut.

“Pasukan siasatan saya dilabel sebagai gagal oleh kerajaan AS apabila memberitahu tentang kebenaran tersebut.

“Malah saya tidak dijemput untuk menjelaskan keputusan siasatan kepada Presiden ketika itu, George W Bush sehingga 2008, dua tahun selepas Saddam dihukum gantung,” katanya kepada portal berita BBC.

Selain itu, Nixon mendedahkan bahawa beliau lebih sanggup menghabiskan masa bersama Saddam berbanding Bush yang lebih menyakitkan hati kerana enggan menerima keputusan siasatannya.

Malah katanya, Bush enggan menerima kenyataan dan penasihatnya hanya tahu menurut perintah.

“Saya fikirkan Presiden akan mendengar nasihat CIA tetapi sebenarnya tidak kerana politik sentiasa mengatasi perisikan,” katanya.

Nixon juga mengakui beliau berasa malu dengan pergolakan yang berlaku di Iraq pada hari ini selepas kejatuhan Saddam.

Jelasnya, kerajaan AS yang dipimpin Bush tidak pernah fikirkan kesa yang bakal berlaku apabila menceroboh Iraq.

“Pergolakan turut menyebabkan kebangkitan militan Daesh dan rantau Arab mungkin lebih baik jika Saddam masih hidup,” katanya.

 

http://www.mstar.com.my/berita/berita-dunia/2017/01/05/cia-iraq-saddam/

Tinggalkan komen anda