Skip to main content
Berita TempatanSabah

JHEAINS Segera Kuat Kuasa Undang-Undang Tegah Judi

By 7 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Zuraidah Ahmad / Foto: Jeffren Malaning (Sabah)

PAPAR, 7 Jan (Malaysiaktif) – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) digesa mengetuai Jawatankuasa Khas dalam menguatkuasakan undang-undang bagi menegah kegiatan judi dalam kalangan umat Islam di daerah ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail gejala sosial tersebut perlu dibasmi demi mengekalkan keharmonian dan ketenteraman keluarga dan awam.

Rahim ketika berucap pada majlis berkenaan.

Rahim ketika berucap pada majlis berkenaan.

 

“Kita minta Jheains bertindak lebih proaktif dalam menguatkuasakan undang-undang syariah berkaitan perjudian dalam kalangan umat Islam.

“Gejala sosial ini lebih banyak membawa kepada kepincangan dalam masyarakat seperti keruntuhan institusi keluarga seperti kes perceraian meningkat, masalah disiplin pekerja yang berjudi pada waktu pejabat, pelajar yang menghabiskan masa di pusat judi dan sebagainya.

“Ketagihan judi juga menyebabkan mereka tidak dapat mengatur kewangan keluarga dengan baik, hilang minat serta fokus bekerja atau belajar, menanggung hutang yang banyak dan di luar kemampuan mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1348H/2016M di Dewan Masyarakat, pagi tadi.

Tambah Abdul Rahim, berdasarkan laporan, 20 permohonan lesen menjalankan Pusat Hiburan Keluarga (PHK) telah ditolak Majlis Daerah kerana tidak menepati syarat-syarat ditetapkan.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Jheains Daerah, Masnor Manshor menjelaskan pihaknya bersedia mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan operasi dan pemantauan khususnya ke atas premis judi yang tidak mempunyai permit yang sah.

Masnor ditemui media selepas sambutan tersebut.

Masnor ditemui media selepas sambutan tersebut.

 

“Jawatankuasa ini baru sahaja dibentuk, dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Abdul Rahim dan dianggotai beberapa agensi dan jabatan penguat kuasa yang terbabit.

“Selain itu, kita juga akan menyelitkan isu perjudian dalam khutbah-khutbah Jumaat dan sebagainya sebagai langkah memberi kesedaran kepada umat Islam,” ujarnya.

Menurutnya, kesalahan perjudian melibatkan umat Islam termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Seksyen 90 Perjudian.

Seksyen 90 (1) menyatakan sesiapa melakukan apa-apa jenis perjudian termasuk pertaruhan ialah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi 3000 ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen sama (2) pula merujuk sesiapa membuka kedai judi atau tempat-tempat judi atau seumpamanya ialah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi 3000 ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala, Sekeyen 90 (3) pula berkaitan sesiapa yang bersubahat terhadap kesalahan subseksyen (1) atau (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi 3000 ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

 

SF/AAS

Tinggalkan komen anda