Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Kenal Pasti Kawasan Sekolah Berisiko Tinggi – Idris Haron

By 4 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyeru semua sekolah di negeri ini untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang dianggap berisiko tinggi dan berkemungkinan boleh mendatangkan bahaya kepada murid-murid serta warga sekolah.

Jelasnya, ia bagi memastikan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mati lemas selepas terjatuh dalam lubang kumbahan najis di Sekolah Rendah Agama Jaim Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, pada Februari tahun lalu tidak berulang.

“Berasaskan kepada kejadian yang tidak diingini ini, kita telah menganjurkan supaya semua pengetua dan penolong kanan yang menguruskan sekolah supaya menyemak risiko kemalangan di sekolah masing-masing dan menyediakan senarai bagi dikoordinasikan oleh jabatan peringkat daerah serta negeri agar dapat dinilai,” ujar Idris.

antara-pelajar-tahun-satu-yang-berisiko-tinggi-belajar-hampir-dengan-kejadian-tanah-runtuh

Antara murid Tahun Satu yang berisiko tinggi terdedah dengan bahaya belajar di bangunan bersebelahan tapak tanah runtuh.

 

Tambahnya, pihaknya telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri supaya mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah terlibat.

“Tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah adalah dengan meletakkan pita amaran supaya kawasan terbabit tidak dilalui oleh sesiapa pun termasuk warga kerja sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan terhadap murid-murid Tahun Satu yang memasuki Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang di sini, semalam.

Idris turut meninjau kejadian tanah runtuh yang berlaku di sekolah berkenaan dan meminta Pengarah Pendidikan supaya memastikan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan tindakan segera mengatasi masalah itu berikutan terlalu hampir dengan bangunan sekolah.

Bahaya: Keadaan kawasan tanah runtuh yang berlaku berhampiran dengan bilik darjah murid Tahun Satu SK Sungai Udang.

Bahaya: Keadaan kawasan tanah runtuh yang berlaku berhampiran dengan bilik darjah murid Tahun Satu SK Sungai Udang.

 

“Biarpun lawatan JKR telah mendapati kejadian yang berlaku tidak menjejaskan pelajar tetapi saya yakin ibu bapa runsing kerana bangunan berkenaan menempatkan bilik darjah bagi Tahun Satu.

“Sekolah ini berada di dalam keadaan kritikal dari segi jumlah bilangan murid dengan kawasan yang agak sempit dan saya menganjurkan supaya pembinaan SK Paya Rumput Jaya dilakukan segera oleh pihak Kementerian Pelajaran,” tegas Idris.

Menurutnya, pembinaan yang segera pasti dapat meringankan beban sekolah ini kerana kepadatan yang ada sekarang mungkin akan berkurangan sehingga setengah atau satu pertiga daripada jumlah keseluruhan murid Tahun Satu yang seramai 165 orang.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda