Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Ketua Jabatan Mesti Ada Wawasan – Idris Haron

By 10 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Hafif Zainudin, Norazura Abdul Latif & Mohd. Yusof Samad

AYER KEROH, 10 Jan ( Malaysiaaktif) – “Ketua Jabatan mesti mempunyai wawasan yang jelas, selari dengan visi kerajaan Negeri Melaka sebagai negeri maju Fasa 2 mengikut empat ciri utama.”

Demikian kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Harun dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Amanat Ketua Menteri Melaka 2017 pagi tadi di Hotel Muzaffar.

Empat ciri utama tersebut ialah produk dan perkhidmatan yang disediakan mestilah berada pada tahap kualiti yang paling tinggi; sistem, struktur dan mekanisme kerja mesti berupaya mengekalkan standard  kualitinya; persekitaran negeri mesti berada pada tahan yang sangat selesa untuk didiami dan rakyat dan penduduk Melaka mempunyai kualiti pemikiran pada tahap  negara maju.

Tambah Idris, kemajuan tidak diukur dengan pembangunan yang maju semata-mata tetapi kesempurnaan kemajuan itu berlaku apabila diisi dengan kegiatan-kegiatan berteraskan tiga prinsip asas iaitu sasaran, strategi dan sikap.

“Tiga prinsip asas tersebut ialah faktor yang perlu ada dalam diri setiap ketua jabatan untuk mengurus kecemerlangan organisasi masing-masing,” jelasnya.

Menurutnya lagi, bagi mencapai sasaran tersebut, ketua jabatan perlu  mempunyai strategi berserta sikap diri yang konsisten dan disiplin yang boleh  membantu mencapai matlamat.

“Jika kita lihat trend kepimpinan terdahulu, mereka yang memimpin Melaka, telah meletakkan satu gagasan yang cukup  besar untuk Melaka menjadi negeri tumpuan atau berdaya saing dengan negeri lain.”

“Bukan mudah untuk menaikkan nama Melaka setaraf dengan negara maju lain. Banyak usaha, mahupun wang ringgit diperlukan. Kejayaan ini tidak akan dikecapi tanpa kerjasama dan komitmen ketua-ketua jabatan,” ujarnya.

whatsapp-image-2017-01-10-at-14-17-09

Dalam pada itu, Idris turut mengingatkan ketua-ketua jabatan supaya bekerja dengan lebih keras untuk merealisasikan matlamat kerajaan negeri untuk mencapai pendapatan per kapita negeri sehingga RM48,000 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tujuh peratus menjelang 2020.

“Ketua jabatan tidak boleh termasuk dalam kumpulan Paralyse before Analyse’ yang merujuk kepada mereka yang belum buat kerja tetapi sudah berkata tidak boleh. Ketua jabatan perlu sentiasa menguruskan organisasi masing-masing dengan cemerlang dan berintegriti,” katanya.

Pada 4 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu termasuk seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar Datuk kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

Ekoran itu, Idris menegaskan tidak akan ada sebarang perlindungan terhadap mana-mana pegawai yang didapati mengamalkan rasuah dan melanggar integriti.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Rais Bugal, 39, ketika ditemu bual sejurus selepas majlis berkata: “penjawat awam perlu bekerjasama dengan ketua jabatan untuk memberi komitmen yang tinggi dalam menjayakan visi Melaka sebagai peneraju organisasi terbilang.”

Manakala menurut seorang lagi penjawat awam, Yusof Tambri, 54, amanat Ketua Menteri Melaka menaikkan semangatnya untuk bekerja bersungguh-sungguh dan lebih berdisiplin.

 

-DZ/SF

Tinggalkan komen anda