Skip to main content
Berita TempatanSabah

Muzik “Thunderstorm” Jambatan Polis Dekati Masyarakat

By 12 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Zuraidah Ahmad  / Foto:  Norzirin Daud (Sabah)  

KOTA KINABALU, 12 Jan (Malaysiaktif) – Nama Thunderstorm bukan asing lagi bagi peminat kumpulan muzik yang bernaung di bawah Ibu Pejabat Polis (IPD) di Sabah.  Malah, mereka sering kali menjadi pilihan Polis Kontinjen Sabah untuk mengiringi kebanyakan persembahan artis tersohor negara yang bertandang ke ibu negeri.

Antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Daud Kilau, Datuk Jeffry Din, Datuk D.J Dave, Bandi Amuk serta penyanyi legenda, Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan yang terkini ialah Datuk Hattan.

Tulang Belakang Thunderstorm, M. Chandra berkata objektif utama penubuhan sebagai strategi yang mendukung Konsep Kepolisan Masyarakat (Community Policing) iaitu mendekati masyarakat, selain menjaga kebajikan para pegawai dan anggota menerusi hiburan.

 

KENANGAN...Thunderstorm merqkamkan gambar kenangan bersama mantan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer (tengah).

Thunderstorm bersama mantan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer (tengah).

 

“Thunderstorm diwujudkan sebagai sebahagian dariapda community policing dan merupakan jambatan untuk Polis mendekati masyarakat, selain untuk kebajikan para anggota dan dan pegawai daripada stres bekerja.

“Kita nak bawa Thunderstorm ke tahap yang lebih tinggi. Sekarang ni sudah berada di atas platform yang telah dikenali dan diiktiraf sebagai satu jenama.

“Cuma pada tahun ini kita nak perkasakan lagi kualiti persembahan dengan memberi pendedahan dalam persembahan di luar daripada skop polis seperti menyertai pertandingan, persembahan anjuran badan luar supaya mereka dapat pendedahan dan pengalaman.

“Peralatan perlu dinaik taraf, kita akan cuba pada tahun ini daripada instrumen muzik dan peralatan teknikal. Saya akan cuba bagi penekanan,” katanya dengan penuh komited.

Thunderstorm, dahulunya lebih dikenali sebagai Warisan di bawah seliaan SUPT Peter Ak Embuas (kini Ketua Polis Daerah Semporna) pada 2009 sebelum diambil alih DSP Ahmad Jawila (kini Ketua Polis Daerah Keningau) selepas tiga tahun kemudian.

Thunderstorm sebelum memulakan persembahan berkonsep rock.

Thunderstorm sebelum memulakan persembahan berkonsep rock.

 

Thunderstorm yang dipimpin bakat muda yang digilap oleh Kombo IPK Sarawak, Hasdamuddin Dakhlan atau Sadam berjaya buat pertama kalinya memenangi Kategori Persembahan Terbaik dan Tempat Keempat dalam Pertandingan Akustika anjuran Jabatan Kebudayaan Sabah pada 2009.

Gandingan mantap ASP Samsualan Samsudin dan Insp Andy Makmur Halwati pada 2015 berjaya menjana aura Thunderstorm apabila berjaya merangkul Juara Battle Of The Band (BOTB) Sempena Karnival Sukan PDRM Kontinjen Sabah pada Mei 2016 dan Naib Juara BOTB Disember tahun yang sama.

Sementara itu, Samsualan atau nama timangannya, Same, mula berjinak-jinak dengan gitar sejak berusia 15 tahun dan pernah menganggotai Bambongan Band apabila menjadi finalis Pertandingan Akhir BOTB Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2005 sebagai pemain gitar rhythm.

Bagi Same, muzik dapat menenangkan fikiran dan beban kerjanya sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kota Kinabalu.

“Pada saya muzik itu mendamaikan dan perlu bagi kita yang bekerja siang malam untuk masyarakat bagi meredakan sedikit tekanan kerja, cukup dengan hiburan yang sederhana dan tidak berlebihan,” ujarnya.

Kelibat Andy, 32, dari Sandakan, merupakan Pengurus yang paling dekat dengan semua anggota dek sifatnya yang santai dan terbuka.

“Saya meminati muzik sejak usia 12 tahun. Mendapat pengaruh daripada rakan-rakan asrama dahulu yang gemar bermain gitar. Saya belajar sedikit demi sedikit sehingga ke satu tahap sanggup menggunakan wang belanja sekolah dan berkongsi dengan kawan-kawan untuk pergi ke studio jamming di bandar.

“Alhamdulillah, walaupun sedikit nakal tapi saya tidak pernah mengabaikan pelajaran saya dan mampu membahagikan masa dengan baik,” katanya.

Bagi kapten, Hasdamuddin Dakhlan yang dikenali sebagai Sadam, berharap akan lebih banyak peluang kepada mereka untuk beraksi di luar daerah. Dia juga mengalu-alukan anggota atau pegawai yang berminat agar tidak segan untuk diuji bakat kerana pelapis amat penting untuk masa depan agar kumpulan ini tidak terkubur begitu sahaja.

“Diharap 2017 ini, semua anggota band mengekalkan momentum kerjasama dan persefahaman yang sedia ada di samping menggalakkan mereka terus menimba ilmu dan pengalaman berkait muzik demi menghasilkan persembahan yang mantap dan berkualiti,” ujarnya lagi.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda