Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

OKU Manfaatkan Kemahiran Demi Kelangsungan Hidup

By 19 Januari 2017Tiada komen1 minit bacaan

 

 Oleh: Latifah Salleh (Muar)

MUAR, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Di mana ada usaha di situlah ada jalannya, begitulah dengan kehidupan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat penglihatan, Muhamad Faizul Md Sham, 31.

Mempunyai sijil kemahiran urutan refleksologi daripada Persatuan Orang Buta Malaysia, Faizul mula menyewa tapak di Dataran Tanjung Emas, Muar untuk menyediakan perkhidmatan urutan refleksologi semenjak empat bulan lalu.

Dengan kadar sewaan Majlis Perbandaran Muar sebanyak RM100 sebulan, Faizul memulakan perkhidmatannya mulai pukul 6 petang sehingga 11 malam.

Menurut Faizul, ada kalanya rezekinya banyak dan ada masanya tidak ada seorang pun yang memerlukan perkhidmatannya.

Namun begitu, Faizul tidak pernah berputus asa dan terus nekad berada di tapak sewaannya setiap hari.

“Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Kini saya tinggal bersama keluarga di Bakri. Selagi ada kudrat, saya akan terus berusaha sedaya-upaya. Bukan senang nak senangkan,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif.

unnamed (12)

Tambah Faizul, pada Majlis Pelancaran Jersi Baru JDT untuk Musim 2017 yang lalu, dia berjaya mendapat 10 orang pelanggan dengan caj RM20 untuk 30 minit.

Sebelum ini, Faizul pernah bekerja di bawah Persatuan Orang Buta Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan mengurut kaki refleksologi di Melaka selama lima tahun.

Meskipun turut menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan, Faizul tetap berusaha untuk menambah pendapatan demi menyara keluarga dan anaknya.

– AH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda