Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

Program Perumahan Rakyat Bantu Rakyat Miliki Rumah

By 17 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Daniel Jong / Foto: Razali Yusof (Seremban)

SEREMBAN, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Memilik rumah sendiri pastinya menjadi impian setiap orang.

Bagi pemohon di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berjaya dalam permohonan kali pertama, Zakaria Seman, pembinaan PPR dilihat sebagai keprihatinan kerajaan kepada rakyat kerana telah membantu merealisasikan hasratnya untuk memiliki rumah.

Zakaria turut berharap PPR dapat diutamakan kepada penduduk luar bandar supaya dapat membantu bekas penoreh getah sepertinya yang tidak lagi diperlukan perkhidmatan mereka setelah estet getah ditukar kepada ladang sawit.

PPR merupakan program penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah yang boleh disewa dan dimiliki oleh warganegara Malaysia dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 sebulan.

ppr2

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai dasar perumahannya sendiri.

“Sebaik-baik pembangunan negara adalah diukur daripada kemampuannya menyediakan tempat tinggal kepada rakyatnya. Di dalam konteks ini, kerajaan Negeri Sembilan menyediakan rumah yang amat selesa.

“Ia mengandungi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan ruang dapur. Rumah ini kita jual dengan harga RM 35,000 sahaja. Ini menunjukan kerajaan sedia ada memang memahami nadi rakyat,” jelasnya ketika menyempurnakan perasmian permulaan projek PPR itu.

Mohamad turut menegaskan akan terus berusaha menerusi Dasar Keselamatan Jaringan Sosial yang dicetuskannya untuk menyediakan pembangunan kepada segenap lapisan masyarakat di negeri Negeri Sembilan.

Tambah Mohamad, terdapat dua projek PPR yang masih dalam peringkat pelaksanaan iaitu PPR Ladang Tanah Merah sebanyak 100 unit rumah teres setingkat dan PPR Rembau sebanyak 452 unit rumah teres setingkat.

ppr4

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Sadique, berkata, sehingga 31 Disember 2016, kerajaan pusat menerusi KPKT telah berjaya menyiapkan 115 PPR di seluruh negara.

Tambahnya, kerajaan persekutuan telah berjaya menyiapkan dua projek PPR di Negeri Sembilan yang melibatkan 570 unit rumah iaitu PPR Senawang sebanyak 420 unit rumah dan PPR Ladang Siliau sebanyak 150 unit rumah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

 

– AH

Tinggalkan komen anda