Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

RELA Agen Perpaduan Kaum

By 25 Januari 2017Tiada komen1 minit bacaan

 

 Oleh: Malini Md Yunos (Port Dickson)

PORT DICKSON, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Bagi menjaga ketenteraman awam, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), bertanggungjawab dalam melaksanakan jaringan kerjasama dengan pasukan keselamatan dan agensi-agensi penguatkuasaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri Sembilan, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar, RELA berperanan dalam membantu bidang keselamatan dan kemasyarakatan negara.

“Dari segi keselamatan RELA membantu pasukan Polis atau Imegresen dalam mengawal sesuatu kawasan atau menangkap Pendatang Tanpa Izin (PATI).

“Manakala dari segi kemasyarakatan ialah membantu masyarakat yang ditimpa bencana seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya dengan cara memindahkan mangsa, gotong royong dan banyak lagi,” katanya.

Hairudin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, berucap sedemikian semasa merasmikan Majlis Penutup Kursus Pengenalan RELA Port Dickson, di sini semalam.

Katanya, disamping menjalankan tugas, anggota RELA juga bertanggungjawab sebagai agen perubahan dan perpaduan kaum.

Jelas Hairudin, anggota RELA berperanan sebagai agen penyampai maklumat yang perlu memberi penerangan terhadap sesuatu isu dan tidak menyebarkan berita palsu yang boleh memecah belahkan kaum atau menghancurkan negara.

“Anggota RELA mesti mempunyai displin yang baik, menepati waktu, perwatakan yang disenangi ketika menjalankan tugas kerana anggota RELA adalah sebahagian daripada kakitangan kerajaan,” jelasnya kepada 60 anggota RELA Port Dickson yang hadir.

RELA menggunakan konsep 5K1P iaitu keselamatan, keamanan, kesejahteraan, keharmonian, kesatuan dan perpaduan.

– AH

Tinggalkan komen anda