Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pembangunan Inklusif Sasaran Kerajaan Negeri Johor – Khaled

By 25 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Khairul Annuar Zulkernain & Latifah Salleh

MUAR, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Johor menyasarkan pembangunan negeri yang tidak tertumpu kepada kawasan Johor Selatan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan kawasan dan daerah di negeri itu.

Pembangunan inklusif ini merupakan aspirasi kerajaan negeri Johor dalam memastikan rakyatnya menerima faedah daripada pelan pembangunan negeri.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin, kerajaan negeri dalam usaha merangka pelbagai perancangan pembangunan dalam memacu Johor ke arah Johor Berkemajuan.

Katanya, pelan itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.

“Kesejahteraan rakyat merupakan matlamat utama kerajaan negeri pada hari ini. Semua pihak yang bertanggungjawab hendaklah bersatu dalam memastikan kehendak dan keperluan rakyat dapat dipenuhi dengan sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Maharani Uptown dalam program lawatan kerja sehari Menteri Besar Johor ke Parlimen Muar, di sini semalam.

Dalam pada itu, Khaled turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM211 juta yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan pusat untuk pelbagai pembangunan infrastruktur dan kemudahan rakyat di Parlimen Muar sepanjang tahun 2014 hingga 2016.

Jelas Khaled, peruntukan ini adalah untuk memastikan pembangunan di Muar bergerak seiring dengan pembangunan di kawasan bandar lain seperti di Johor Bahru.

Khaled berharap semua pihak di Muar dapat bersatu padu dan bekerjasama demi menjaga nama baik Muar sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja.

Tambahnya, pengiktirafan yang diterima oleh Bandar Muar sebagai antara bandar terbersih di Malaysia pada tahun 2016 perlu dipertahankan dalam memastikan Muar terus menjadi antara tarikan di Johor.

Turut hadir, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail.

– AH

Tinggalkan komen anda