Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanEkonomiHomeMelaka

RM2.39 Juta Naik Taraf Terminal Bas dan Teksi Masjid Tanah

By 13 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Mastika Hablum / Foto: Nor Aidah Mat Seh

ALOR GAJAH, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Selari dengan amanat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pada Selasa, kemajuan yang dicapai Melaka harus bermakna buat seluruh rakyat negeri ini.

Justeru, sejumlah RM2.39 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Melaka untuk menaik taraf Terminal Bas dan Teksi Masjid Tanah, di sini, yang bakal memberi imej baharu selari dengan status Melaka sebagai negeri maju.

Menurut EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ar Ismail Othman, kerja-kerja pengubahsuaian projek tersebut yang dijangka siap menjelang Februari tahun depan telahpun dilaksanakan dan penempatan sementara bas dan teksi ditempatkan di kawasan berhadapan terminal tersebut.

Datuk Ar Ismail Othman melawat tapak projek terminal bas dan teksi.

Datuk Ar Ismail Othman melawat tapak projek terminal bas dan teksi.

“Penaiktarafan ini bertujuan untuk memberi keselesaan yang optimum bukan sahaja untuk pengguna malahan kepada pemandu bas dan juga pemilik teksi.

“Terminal ini akan menyediakan sebanyak tujuh buah parkir untuk bas dan lima parkir untuk teksi. Selain itu, sebanyak lima buah gerai untuk jualan dan juga ruang pejabat yang lebih selesa akan disediakan di dalam hentian tersebut,” ujarnya.

Selain itu, bangunan satu tingkat berkonsepkan moden ini dengan keluasan 940 meter pesegi itu bakal dilengkapi dengan 100 unit tempat duduk, empat lot kedai, tiga kaunter tiket, satu bilik pengusaha teksi, lima parkir dan kaunter pandu lalu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Ini merupakan salah satu proses menambah baik prasarana di negeri ini yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan dan adalah masa yang sesuai untuk ditambah baik memandangkan perhentian bas yang lama wujud itu telah lama tidak dinaik taraf,” ujarnya lagi.

Datuk Ar Ismail ketika membuat lawatan sepanjang sungai Masjid Tanah.

Datuk Ar Ismail ketika membuat lawatan sepanjang sungai Masjid Tanah.

Tambahnya, penaiktarafan bangunan kawasan persekitaran seperti surau juga akan dilaksanakan untuk keselesaan pengguna.

“Memandangkan tandas di sana merupakan satu-satunya tandas awam yang ada di pekan Masjid Tanah, maka, akan turut dinaik taraf selaras dengan kehendak pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan MPAG, Sugiman Johari, berkata MPAG ingin jadikan pengangkutan awam terutamanya bas dan teksi di Masjid Tanah ini sebagai medium utama untuk bergerak kemana-mana kerana sudah pastinya projek ini akan meningkatkan jaringan pengangkutan awam sekali.

Dalam pada itu, Ismail yang turut membuat tinjauan di sungai berdekatan meminta pihak berkuasa tempatan mencantas pokok besar bagi meringankan bebanan pokok serta mengelakkan pejalan kaki dihempap dahan ranting yang reput.

Turut hadir, Yang Dipertua (YDP) MPAG, Ismail Hashim dan mantan YDP MPAG, Datuk Murad Husin.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda