Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Jabatan Tanah dan Survei Laksanakan Semula Sukatan Tanah NCR

By 12 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan oleh : Mohamad Borhan Ahmad Ulis / Foto oleh : Cassidy Lisut

LUNDU, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Masyarakat di kawasan Sampadi kini boleh menarik nafas lega dengan jaminan yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg untuk sukatan semula Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dilaksanakan di kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian di Program Pemimpin Bersama Komuniti Zon Sampadi di Dewan Masyarakat Kampung Sampadi, petang tadi.

“Selaku Ketua Menteri, saya akan mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei untuk membuat sukatan semula ke atas tanah yang berkaitan sebelum geran tanah dikeluarkan di bawah Kanun Tanah Adat Bumiputera,” kata Abang Jo.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan menggunakan undang-undang sedia ada dan memastikan apa jua keputusan akan memihak kepada rakyat termasuk di Kampung Sampadi.

WhatsApp Image 2017-02-12 at 6.33.08 PM

Abang jo menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 26 orang penerima dari empat buah kampung iaitu, Kampung Sampadi, Kampung Kangka, Kampung Sungai Langgir/Selenggok dan Kampung Sungai Limo.

“Cuma saya ingatkan kepada semua pemilik tanah, setelah geran tanah diperolehi, jangan ada dalam kalangan kita mengambil jalan yang singkat untuk menjual tanah tersebut,” ujar Abang Jo lagi.

Abang Jo menekankan perkara tersebut selaras dengan hasrat mantan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang ingin menjadikan kawasan Tanjong Datu sebagai koridor utama pelancongan menjelang tahun 2020.

“Beliau (Tok Nan) telah lama merancang untuk menjadikan kawasan Tanjong Datu meliputi Telok Melano sehingga Pasir Salak sebagai hub pelancongan memandangkan terdapatnya banyak tempat yang menarik untuk dipromosikan kepada pelancong.

“Selain itu, Perdana Menteri juga telah bersetuju untuk membina sebuah jambatan menghubungkan kawasan Sampadi menyeberangi Sungai Rambungan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut,” ujar Abang Jo.

Untuk menjadikan perancangan itu dicapai, Kerajaan akan berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik serta jaringan komunikasi yang luas.

Oleh itu, hubungan yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri harus dipelihara agar kerjasama antara kedua-dua pihak berjalan dengan lancar dan mudah.

“Kita beruntung kerana memiliki seorang Perdana Menteri yang pemurah. Beliau bukan sahaja mengambil berat tentang kebajikan rakyat negeri ini bahkan telah banyak membantu meluluskan pelbagai projek besar seperti projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Niat kena ikhlas jika kita mahu membuat sesuatu. Tanpa niat yang ikhlas, segala perancangan pasti menemui kegagalan. Insya-Allah saya akan memegang amanah yang telah diberikan dengan sebaik yang mungkin,” ujarnya lagi.

Abang Jo juga berikrar akan meneruskan dasar-dasar yang telah digariskan oleh Tok Nan terutamanya soal penurunan kuasa seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Beliau (Perdana Menteri) sedar perkara ini dan beliau bersedia untuk memberikan kerjasama yang penuh kepada saya selaku pengganti kepada Allahyarham Tok Nan,” jelas Abang Jo.

“Saya juga akan berusaha memastikan Sarawak akan terus membangun tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. Pesanan terakhir Tok Nan kepada saya dan Douglas (Uggah) supaya menjaga negeri ini dengan baik,” kata Abang Jo.

Dalam pada itu, Abang Jo menaruh harapan agar para penggundi akan keluar menunaikan kewajipan pada 18 Februari nanti.

Beliau berharap calon Barisan Nasional iaitu Datin Amar Jamilah Anu isteri kepada Allahyarham Tok Nan akan mendapat kemenangan yang besar dan diberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat bagi kawasan Tanjong Datu.

“Tiada sesiapa yang lebih layak untuk menjadi calon BN di kawasan ini selain daripada Datin Amar Jamilah kerana masyarakat di sini mengenali beliau sebagai seorang yang mesra dan mudah didekati.

“Tambahan lagi, sekiranya beliau diberikan peluang, segala permasalahan penduduk di kawasan Tanjong Datu dapat diberi perhatian dan diselesaikan dengan segera,” ujar Abang Jo.

Program petang tadi juga telah diserikan dengan Titik Sentuhan (Touch Point) berupa penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada 26 orang penerima dari empat buah kampung iaitu, Kampung Sampadi, Kampung Kangka, Kampung Sungai Langgir/Selenggok dan Kampung Sungai Limo.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

-MSM

Tinggalkan komen anda