
Laporan dan foto oleh: Hatta Johari
MELAKA, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Perumahan Penjawat Awam Negeri Melaka (MGO-HOME) Durian Tunggal yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pada 23 Januari lalu, merupakan antara salah satu inisiatif kerajaan untuk membolehkan penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana dapat memiliki rumah sendiri dengan harga yang berpatutan.
Hal ini menimbulkan kelegaan bagi seorang penjawat awam, Muhammad Izhar Md Shah, 27, yang telahpun berkeluarga dan kini ingin memiliki rumah pertama.
“Saya amat berterima kasih atas usaha serta inisiatif kerajaan dalam membantu golongan penjawat awam yang berpendapatan rendah seperti saya untuk memiliki kediaman sendiri. Jika nak bandingkan harga rumah yang dibina oleh pemaju pada masa sekarang, belum tentu saya dapat memiliki rumah sendiri kerana harganya yang tinggi.“Apa yang dilakukan kerajaan pada masa kini memang saya nantikan dari dulu lagi dan yang lebih mengembirakan saya sekeluarga, MGO-HOME yang dibina ini turut dilengkapi dengan perabot. Jadi, kami sekeluarga tidak perlu memikirkan kos untuk membeli katil, tilam, sofa dan sebagainya dan ini sangat membantu dari segi kewangan kami,” ujarnya.
Manakala, seorang lagi penjawat awam, Nur Hafif Zainurdin, 25, berharap agar projek seperti ini diperbanyakkan lagi dengan harga yang berpatutan sesuai dengan kadar inflasi yang semakin meningkat.
“Projek seperti MGO-HOME ini memang dinanti-nantikan setiap penjawat awam. Harapan saya, projek seperti ini diperbanyakkan lagi bagi menampung keperluan penjawat awam yang berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah dengan harga yang berpatutan sesuai dengan kadar inflasi yang semakin meningkat pada masa kini.
Nur Hafif Zainurdin
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohammad Zuheir Johari, 25, berpendapat penjawat awam seharusnya bersyukur dan bekerja dengan lebih gigih dengan apa yang diberikan kerajaan pada masa kini.
“Dengan harga tanah yang semakin meningkat zaman sekarang, bukan senang nak beli rumah. Penjawat awam sangat beruntung, macam-macam kemudahan ada. Setiap bulan ada elaun perumahan. Kepada yang nak beli rumah pula, ada pinjaman perumahan kerajaan dengan kadar bunga yang rendah dan sekarang wujud pula MGO-HOME.“Ini membuktikan kerajaan sedia ada sekarang ini tidak pernah mengabaikan penjawat awam. Penjawat awam seharusnya bersyukur dan bekerja dengan lebih gigih atas apa yang telah diberikan kepada mereka hari ini,” katanya.
Sebanyak 129 unit rumah MGO-HOME Durian Tunggal dibina di atas tanah seluas 4.05 hektar dengan kos bernilai RM23.2 juta. Projek MGO-HOME Durian Tunggal ini masih dalam proses pembinaan dan kini telah siap hampir 60 peratus.
-DZ