Skip to main content
Berita Sarawak

Bas Masih Pilihan Utama Di Lundu

By 17 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Luhat Ajang

LUNDU, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Walaupun kini jumlah kenderaan persendirian kian bertambah, namun perkhidmatan pengangkutan awam masih lagi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat di Lundu dan Sematan.

Salah sebuah syarikat yang masih menawarkan khidmat mengangkut penumpang di sini ialah syarikat gabungan City Public Link dan Bintang Jaya yang mula beroperasi di kawasan Lundu dan Sematan sejak 2012.

Misiah (kiri) bersama rakan sekerja Nurul (kanan) setia menunggu ketibaan pelanggan

Misiah (kiri) bersama rakan sekerja Nurul (kanan) setia menunggu ketibaan pelanggan

Salah seorang petugas kaunter bas tersebut, Misiah Melina, 50, perkhidmatan bas di kawasan ini masih mendapat tempat di hati penduduk tempatan walaupun masyarakat setempat mempunyai pilihan lain seperti van sapu dan kereta persendirian.

Menurut Misiah lagi, syarikat bas ini menyediakan perkhidmatan ulang alik empat kali sehari dari Lundu-Sematan-Lundu-Bau-Kuching-Lundu.

“Jumlah penumpang akan bertambah khasnya pada musim cuti sekolah atau musim perayaan. Kadang-kadang penumpang marah kerana ketinggalan bas, bas lambat dan sebagainya,” ujar Misiah yang telah berkhidmat dengan syarikat bas tersebut sejak Oktober 2012.

Antara penumpang bas yang bersiap sedia bergerak ke destinasi masing-masing.

Penumpang bas yang bersiap sedia bergerak ke destinasi masing-masing.

Walau bagaimanapun Misiah yang bekerja dari 7.00 pagi hingga 5.00 petang memberitahu dia sudah lali dengan kerenah penumpang tersebut yang baginya merupakan asam garam dalam kerjayanya.

Sementara itu, rakan sekerja Misiah yang bertugas di Sematan, Nurul Safarizan, 26, melahirkan rasa syukur kerana ditawarkan bekerja di syarikat pengangkutan ini.

Dia yang berasal dari Kampung Tanah Hitam, Sematan percaya tempoh perjalanan yang jauh akan menjadi pendek sekiranya Lebuh Raya Pan Borneo itu siap nanti.

Menurut Nurul, tambang perjalanan yang dikenakan kepada penumpang dari Lundu ke Kuching ialah RM12 manakala RM16 dari Sematan ke Kuching. Bagi penumpang yang tinggal di sepanjang jalan Lundu ke Sematan juga boleh menggunakan perkhidmatan bas ini dengan bayaran yang berpatutan.

Sumis Sinimist (kanan) menghantar anaknya, Angelina (kiri) di Perhentian Bas Lundu.

Sumis Sinimist (kanan) menghantar anaknya, Angelina (kiri) di Perhentian Bas Lundu.

Bagi suri rumah berbangsa Bidayuh, Sumis Sinimist, 46, yang tinggal di Kampung Kendaie, perkhidmatan bas masih lagi diperlukan terutamanya di kawasan kampung yang jaraknya agak jauh dari jalan utama.

Ketika ditemui Sumis memberitahu, dia datang ke Lundu untuk menghantar anak gadisnya, Angelina Anak Bisa pulang ke Kuching dengan menggunakan bas.

Tambahnya, disebabkan kekangan masa dan jarak yang agak jauh, Sumis hanya menghantar anaknya ke stesen perhentian bas Lundu terutama apabila anaknya mempunyai kesempatan untuk balik bercuti.

Sehubungan itu, Sumis berharap agar perkhidmatan bas dapat dipanjangkan ke Jalan Biawak yang mempunyai beberapa buah kampung lain bagi memudahkan penduduk berulang-alik ke Lundu dan sebagainya.

Sumis yang juga pengundi berdaftar di Kampung Kendaie, Biawak memberitahu akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi setiap kali pilihan raya diadakan.

“Melalui undi sahajalah kita dapat menentukan kerajaan,” kata Sumis mengakhiri perbualan.

Esok seramai 9771 orang layak mengundi bagi Pilihan Raya Kecil N.03 Tanjong Datu di 16 pusat mengundi  akan dibuka dengan 25 saluran mengundi yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

-SF

Tinggalkan komen anda