Skip to main content
Sabah

Redah Hutan Enam Jam, Hantar Kerusi Ke Sekolah

By 17 Februari 2017Mei 28th, 2020Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Edi Rizam Kassim / Shartner Liew (Penampang)

PENAMPANG, 17 Feb (Malaysiaktif) – Tiada apa yang hendak diperkatakan, selain kepuasan dan kegembiraan melihat para pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Longkogungon teruja terima kerusi baharu sumbangan orang ramai.

Sekumpulan 24 belia sukarelawan yang mengelar kumpulan mereka sebagai ‘Jelajah Borneo’ nekad mencari dan menyampaikan sumbangan berupa kerusi ke sekolah berkenaan yang hanya dapat dihubungi dengan berjalan kaki.

Ketua Kumpulan, Shartner Liew berkata cetusan ingin melakukan amal kebajikan ini disebabkan minat terhadap sukan mendaki.

“Kebetulan saya sempat melawat ke sekolah itu tahun lepas, kerani sekolah ada memaklumkan mereka memerlukan kerusi untuk kegunaan pembelajaran dan saya pun mula buat perancangan untuk menjayakan misi bantuan tersebut” ulas beliau.

Biarpun terpaksa meredah laluan sempit sambil membawa barangan, sedikitpun tidak mematahkan semangat peserta untuk meneruskan misi bantuan

Biarpun terpaksa meredah laluan sempit sambil membawa barangan, sedikitpun tidak mematahkan semangat peserta untuk meneruskan misi bantuan

Shartner turut menjelaskan perancangan menjayakan misi ini telah dijalankan selama dua bulan bermula dengan pencarian peserta yang berminat, penderma, pengurusan logistik serta latihan mendaki.

“Berbekalkan pengalaman penghantaran barang dan minat pada sukan mendaki memberikan saya keyakinan, inspirasi serta semangat terhadap setiap perancangan yang diatur bagi membantu sekolah terbabit dan penduduk-penduduk yang memerlukan bantuan,” luahnya lagi.

Pengalaman meredah hutan dengan berjalan kaki sejauh 16 Kilometer selama enam jam memberi pengalaman baharu dan sukar dilupakan kepada 24 sukarelawan ‘Jelajah Borneo’ demi menyampaikan bantuan kerusi ke sebuah sekolah rendah di pedalaman penampang.

Shartner Liew menjelaskan kumpulan kami bergerak sejauh 33 kilometer dari Pekan Donggongon menaiki kenderaan sebelum memulakan perjalanan kaki sejauh 16 kilometer ke sekolah terbabit yang mempunyai seramai 16 orang pelajar dan  lima kakitangan sekolah.

“Misi sukarelawan ini berjaya dilaksana selama tiga hari dua malam dengan disertai seramai 24 orang terdiri daripada sembilan lelaki dan 15 wanita berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun daripada pelbagai latar belakang pekerjaan termasuklah penjawat awam dan swasta.

Tambahnya, agak terkejut dengan sambutan yang diterima daripada orang ramai yang ingin turut serta dalam misi ini.

“Permintaan menjayakan misi ini mendapat penyertaan luar jangka dari orang ramai, tetapi saya hanya membuka penyertaan kepada 24 orang disebabkan faktor keselamatan.

Antara halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi

Antara halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi

Shartner turut meluahkan rasa teriuma kasih kepada yang menghulurkan bantuan kewangan bagi membolehkan mereka membeli sebanyak 29 buah kerusi plastik berkualiti dan menyediakan “goodies bag” kepada para pelajar.

Berkongsi pengalaman terhadap cabaran sepanjang perjalanan ke sekolah terbabit  antara yang sukar dilupakan adalah semasa menuruni bukit curam sejauh 6 kilometer dengan membawa beberapa buah kerusi selain terpaksa melalui denai dengan laluan yang licin serta meredah sungai. Namun semua itu tidak mematahkan semangat para sukarelawan untuk menamatkan misi mereka.

“Kami tiba di sekolah tersebut pada pukul 3 petang dan disambut oleh Yang diPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SK Longkogungon, , guru-guru, pelajar sekolah dan penduduk kampung.

“Sepanjang berada di sekolah terbabit kami melakukan berbagai aktiviti antaranya mengecat semula dewan sekolah, menganjurkan aktiviti sukaneka dan menyerahkan sumbangan berupa kerusi dari orang ramai.

Menurut shartner liew, beliau akan meneruskan usaha murni ini pada masa-masa mendatang.

Peserta turut mengecat dewan mini sekolah tersebut

Peserta turut mengecat dewan mini sekolah tersebut

“Ia adalah suatu perasaan yang sukar diungkapkan, kerana ia 10 kali lebih seronok daripada perasaan bila sampai di puncak gunung” katanya.

Yang Dipertua PIBG, sekolah tersebut, Benson Logunsing amat berterima kasih atas usaha yang dipamerkan Jelajah Borneo dan berharap usaha murni mereka diteruskan dan akan ada lebih ramai lagi anak muda yang mencontohi usaha mereka.

Sukarelawan Cindy Mudi berkata pengalaman ini sukar dilupakan kerana meredah hutan dengan niat murni dan mengalami sendiri pengalaman dengan pelbagai cabaran seperti meredah sungai, melalui jambatan daripada kayu balak dan banyak lagi.

“Paling saya tidak akan lupakan ialah semasa menuruni sebuah bukit, saya terpaksa berhati – hati bagi memastikan kerusi yang saya bawa tidak rosak dan berkeadaan baik.

“Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan ini walau hanya dengan membawa kerusi ke sekolah tersebut ia suatu pencapaian yang besar buat diri saya.

“Lebih saya tersentuh apabila melihat wajah para pelajar menggunakan kerusi baharu membuatkan saya hilang lelah,” ujarnya.

 

-SH

Tinggalkan komen anda