Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

PRK N.03 – Undi Awal Berjalan Lancar

By 12 Februari 2017Februari 15th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan : Mohamad Borhan Ahmad Ulis dan Nur Faezah Salam / Foto: Jaed Tepus

LUNDU, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Suasana hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil N.03 Tanjong Datu bermula hari ini dengan dua Pusat Pengundian dibuka.

Tinjauan mendapati di Pusat Mengundi Dewan Masyarakat, Kampung Sungai Lundu, pagi ini berjalan lancar.

Seramai 101 pengundi terlibat di pusat mengundi berkenaan yang terdiri daripada anggota polis.

Seorang anggota polis membuang undi ke dalam peti undi di Dewan Masyarakat Kg. Sg. Lundu pagi tadi.

Seorang anggota polis membuang undi ke dalam peti undi di Dewan Masyarakat Kg. Sg. Lundu pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah tiba di pusat mengundi kira-kira 9.00 pagi tadi untuk meninjau sendiri proses pengundian. Turut mengiringi beliau ialah Pengerusi SPR Negeri, Datu Takun Sunggah.

Hashim memaklumkan setakat 9.00 pagi sebanyak 50 peratus pengundi telah menjalankan tanggungjawab di pusat mengundi tersebut.

Pengundi terdiri anggota tentera turut membuang undi di Pusat Mengundi Awal Dewan ULS, Kem Sampadi.

Pengundi terdiri anggota tentera turut membuang undi di Pusat Mengundi Awal Dewan ULS, Kem Sampadi.

“Keadaan cuaca hujan lebat pagi ini tidak akan menjejaskan proses pengundian dan sebanyak 37 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi awal iaitu 188 orang telah keluar mengundi,” katanya.

Hashim juga menyatakan keadaan semasa pengundian awal juga tenteram dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Sepanjang tempoh berkempen juga kami tidak menerima sebarang laporan atau kesalahan dari mana-mana parti yang bertanding seperti memburukkan calon parti lawan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, tempoh berkempen selama 13 hari juga ialah satu tempoh yang biasa diberikan oleh SPR.

“Tempoh tersebut dirasakan terlalu lama kerana tiada penglibatan parti-parti yang besar yang meletakkan calon mereka pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Hashim turut meletakkan harapan peratusan keluar mengundi pada pengundian awal hari ini akan meningkat untuk mencapai peratusan tertinggi dalam pengundian awal di Pilihan Raya Kecil N.51 Balingian iaitu sebanyak 99.25 peratus pada 2014.

Sementara itu tinjauan di Pusat Mengundi Awal Dewan ULS, Kem Sampadi, jumlah anggota tentera yang telah keluar membuang undi mencatatkan jumlah sebanyak 41 pengundi dari 87 orang pengundi setakat 9.45 pagi.

Proses membuang undi di kem tersebut juga berjalan dengan lancar dengan hujan renyai-renyai yang turun pada awal pagi tadi.

Menurut pihak polis sebanyak 20 permit berkempen telah dikeluarkan dan permohonan tersebut hanya dari calon Barisan Nasional.

Sumber SPR memaklumkan setakat 10.00 pagi ini peratusan keluar mengundi awal telah meningkat sebanyak 66 peratus dan kedua-dua pusat mengundi akan ditutup pada 5.00 petang nanti.

-SF

 

 

Tinggalkan komen anda