Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahWilayah Persekutuan

104,557 Pengunjung Banjiri LIMA 2017

By 25 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan / foto oleh Aimi Huwaina (Putrajaya)

LANGKAWI, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 104,557 pengunjung membanjiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2017 yang dibuka kepada orang awam, di sini semalam.

Peminat aeroangkasa, Nursyahril Ismail, 30, yang berasal dari Pulau Pinang memanfaatkan musim cuti persekolahan dengan membawa keluarganya bercuti di Pulau Langkawi untuk menyaksikan pesawat-pesawat tentera yang dipamerkan di LIMA.

“Pertama kali tengok. Sebelum ini nak datang, tak dapat nak datang, memang berminat nak tengok. Minat tengok pesawat-pesawat ini beraksi,” kata Nursyahril.

Peminat aeroangkasa, Nursyahril Ismail, 30, membawa keluarganya bercuti di Pulau Langkawi sempena LIMA 2017.

Tambah Nursyahril, dia membawa anak-anaknya ke LIMA bagi memberi pendedahan tentang aeroangkasa, di samping menerangkan sejarah peperangan Malaysia sebelum mencapai kemerdekaan.

Bagi suri rumah, Mashitah bukhari, 30, yang baru pertama kali berkunjung ke LIMA, dia berasa teruja apabila melihat kegembiraan anak-anaknya tatkala melihat pameran dan persembahahan yang disediakan.

“Sebelum ini tak pernah datang, asyik dengar sahaja. Tahun ini anak-anak dah besar, mereka nak tengok, saya bawalah. Anak-anak boleh belajar, boleh tengok sendiri depan mata.

“Program ini harus diteruskan untuk masa akan datang. Sekarang ini anak kecil-kecil lagi, tak berapa nak faham, mungkin bila dah besar dia boleh faham bila tengok nanti,” jelas Mashitah.

Mashitah bukhari, 30, membawa anak-anaknya menyaksikan LIMA 2017.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Nazarul Aida Md Jusoh, 41, berkata walaupun terpaksa menghabiskan masa yang panjang untuk beratur di kaunter pendaftaran, dia berpuas hati dengan pertunjukan-pertunjukan menarik yang disediakan.

“Anak saya dua-dua tak ada peperiksaan besar, jadi saya datang untuk anak-anak sambil berjalan. Saya nak dedahkan anak-anak kepada penerbangan dan jenis-jenis pesawat yang ada dekat sini sebab ini boleh meluaskan ilmu dan pengetahuan mereka,” katanya.

Nazarul yang berasal dari Raub, Pahang, berharap pengurusan LIMA dapat diperbaiki pada masa akan datang bagi memudahkan ibu bapa yang membawa anak-anak kecil.

Pertunjukan aeroangkasa di LIMA 2017.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata LIMA 2017 mendapat penyertaan terbesar daripada pempamer dan pengunjung.

“Cabaran dan kekangan yang kita terpaksa hadapi bukan suatu perkara yang mudah dalam ekonomi dunia yang tidak menentu hari ini, tetapi yang melegakan, penyertaan daripada negara-negara yang melihat malaysia sebagai satu lokasi yang strategik.

“Mesyuarat dua hala kita dengan menteri-menteri yang hadir menunjukkan bahawa mereka meletakkan harapan dalam konteks kepimpinan Malaysia dalam rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi memberitahu, nilai kontrak yang telah dimeterai pada LIMA 2017 ini telahpun mencecah RM3.8 bilion berbanding RM2 bilion pada 2015.

 

– DZ/AAS

Tinggalkan komen anda