Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajaya

82% Projek AKP Siap Sepenuhnya-Zahid

By 28 Mac 2017Mac 30th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Aziz Ahmad Shariff (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 82% projek Aku Janji Kerajaan Persekutuan (AKP) dengan peruntukan sebanyak RM72.26 bilion telah siap sepenuhnya sehingga 15 Mac 2017.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian menerusi siaran media setelah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan AKP di Bangunan Utama Parlimen di sini hari ini.

Tiga inisiatif AKP menjadi fokus utama mesyuarat iaitu menangani kos sara hidup, pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar serta membina kecemerlangan pendidikan.

WhatsApp Image 2017-03-28 at 3.25.14 PM

Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh ke Semantan yang telah siap sepenuhnya. Gambar fail: Aziz Ahmad Shariff

Antara projek AKP yang telah siap sepenuhnya termasuklah Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh ke Semantan, penyambungan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights, pembinaan 234,832 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan penyediaan 230,366 port Internet baharu.

Bukan itu sahaja, projek AKP turut melibatkan sembilan buah sekolah baharu, baik pulih 161 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak, menaik taraf kemudahan perubatan hemodialisis di 22 buah hospital, penurapan jalan luar bandar sepanjang 5,797 kilometer, pembinaan lima Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pembinaan lapan lagi Pusat Transformasi (RTC) Luar Bandar.

Tambahnya, selaras dengan aspirasi 2017 sebagai Tahun Penyampaian, AKP akan terus direalisasikan menerusi projek peningkatan amaun Bantuan Rakyat 1Malaysia dan pembinaan pusat Anjung Kasih di lima lagi hospital.

Program e-Usahawan dan e-Rezeki juga akan dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan 300,000 peserta manakala projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan dilaksanakan mulai Julai 2017.

Turut hadir menteri-menteri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang merupakan jawatankuasa AKP yang bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan kesemua janji Kerajaan Persekutuan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

-SF

Tinggalkan komen anda