Skip to main content
Berita TempatanSabah

Perginya Seorang Tokoh Agama di Sabah

By 28 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh Zuraidah Ahmad/ foto: Mastim Kiriman (Sabah)

TUNGKU, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Warga Lahad Datu merasai kehilangan seorang pemimpin yang berkaliber serta mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Allahyarham Mohd Suhaili Said, 56, pada Jumaat lalu, sebagai kehilangan yang amat besar bagi seluruh masyarakat di daerah berkenaan.

Nasrun ketika bercakap kepada media.

Nasrun ketika bercakap kepada media.

“Kita kehilangan seorang pemimpin yang sangat baik, berpengalaman dan mahir dalam ilmu agama Islam.

“Allahyarham Suhaili merupakan satu-satunya anak tempatan yang  memperoleh ijazah dari Universiti Al-Azhar Mesir kemudian menjadi seorang pemimpin di daerah ini. Kehilangannya amat dirasai khususnya bagi masyarakat di Parlimen Silam ini,” ujarnya.

Bagi Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali,  pula pemergian Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) itu sebagai kehilangan seorang tokoh agama yang disegani dan kepimpinannya dikagumi masyarakat.

“Allahyarham ialah pemimpin muda yang pakar dalam bidang agama yang amat disegani dalam kalangan masyarakat. Kepimpinannya juga amat disenangi rakyat peringkat akar umbi sesuai dengan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Bahagian Umno Silam.

“Ini jelas terlihat apabila beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Felda dan FGV,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Pengebumian ADUN Tungku di sini, pada Sabtu.

Allahyarham Suhaili telah meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang Kuala Lumpur akibat kanser hati kira-kira 3.10 petang dan jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Remang Lahad Datu.

Beliau meninggalkan isteri, Datin Dg Sopiah Datu Jamiuddin bersama enam anak, empat lelaki, dua perempuan dan empat cucu.

Sepanjang kariernya dalam politik, allahyarham bukan sahaja merupakan seorang pemimpin yang mesra rakyat selama tiga penggal tetapi juga dikenali sebagai tokoh agama yang menjadi rujukan masyarakat di negeri ini.

Allahyarham Suhaili (kiri) ketika menerima Watikah sebagai Ahli Majlis Tertinggi MUIS daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Haji Juhar Datuk Mahiruddin di Istana Negeri pada 27 Ogos 2014.

Allahyarham Suhaili (kiri) ketika menerima Watikah sebagai Ahli Majlis Tertinggi MUIS daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Datuk Mahiruddin di Istana Negeri pada 27 Ogos 2014.

Allahyarham ialah bekas guru lepasan Maktab Perguruan Islam Kuala Lumpur dan memperoleh Ijazah Syariah dan Undang-Undang,  Universiti Al-Azhar Mesir.

Beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agaseh Lahad Datu, selain berkhidmat sebagai Pensyarah Maktab Perguruan Sandakan dan menyandang jawatan Ketua Unit Pendidikan Islam dan Tamadun Islam.

Sebelum berkecimpung dalam arena politik, jawatan terakhirnya dalam perkhidmatan awam ialah Pemangku Ketua Penolong Pengarah Pendidikan, Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Sabah.

-SF

Tinggalkan komen anda