
Laporan / foto oleh : Muhammad Ashraf Ahmad Jarkasi
KAJANG, 28 Mac (Malaysiaaktif) – “Penghasilan video pengajaran subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diharap dapat membantu guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) selain meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran STEM,”
Demikian kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Rashidah Md Arif ketika majlis pelancaran video STEM Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor hari ini.
“Menerusi penghasilan video, pelajar terlibat secara langsung terutamanya semasa penyediaan aktiviti pembelajaran, penyediaan prop dan lakonan. Penglibatan ini dapat membantu meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), motivasi, keyakinan dan minat pelajar mempelajari mata pelajaran STEM,” tambahnya lagi.

Pelancaran Video STEM bertujuan memperluas dan mempromosi penggunaan video seluruh negara serta mengiktiraf sumbangan hasil intelek guru-guru terhadap bidang pendidikan – Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Rashidah Md Arif
Menurut Guru Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Adura Azlin Ishak, pelajar akan lebih memahami mata pelajaran STEM yang dipelajari kerana ia menampakkan secara realiti dan lebih berkesan daripada kaedah PdPc biasa. Ia juga salah satu bahan bantu mengajar (BBM) yang interaktif, fleksibel dan mudah digunakan.
“Kaedah ini 80% dilihat lebih berkesan mengikut keadaan persekitaran, di mana ia juga boleh digunakan dalam kelas yang melibatkan aktiviti kepada pelajar untuk pembelajaran secara lebih berkesan,” tambah Adura.
Guru Cemerlang Kimia Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Perempuan Seremban, Dr. Norni Jaafar, pula menyifatkan pelajar bukan sahaja dapat melihat dan mendengar tetapi juga dapat mengikut arahan yang betul dalam membuat aktiviti seperti eksperimen dan perbincangan dalam kumpulan.

Antara guru yang hadir semasa pelancaran Video STEM KPM di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang Selangor
“Medium ini sesuai dengan sistem pembelajaran abad ke-21, contoh-contoh yang digunakan juga terdiri daripada contoh kehidupan harian yang memudahkan pelajar memahami mata pelajaran ini” kata Dr. Noraini lagi.
Penyediaan video STEM bermula pada tahun 2013 dengan penghasilan video ‘Blended Learning Open Source Science or Maths Studies (BLOSSOMS)’ melibatkan 237 orang guru bagi merealisasikan hasrat pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
-MSM