
Oleh Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Fandy Azlan
LANGKAWI, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2017 adalah penting kerana bukan sahaja Malaysia didedahkan dengan teknologi terkini, tetapi turut dihadiri oleh ramai ketua maritim antarabangsa
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata demikian ketika ditemui di sini semalam.
“Ramai juga ketua tentera laut di peringkat dunia jadi kita mengukuhkan rangkaian. Dengan kerjasama yang erat ini, tentunya kita dapat bertukar-tukar pengalaman, maklumat, begitu juga perisikan. Melalui perbincangan-perbincangan serta kerjasama seumpama ini, kita mempunyai peluang yang lebih baik dalam menangani apa jua ancaman yang bakal dihadapi.

Pasukan Aerobatik Korea Selatan, Black Eagles membuat persembahan yang mengagumkan orang ramai. / Gambar: Hafiz Itam
“Kita harus menggunakan peluang-peluang semasa di LIMA ini bukan sahaja daripada segi teknologi tetapi juga hubungan dua hala, dan kerjasama secara menyeluruh dapat kita pergiatkan lagi. Dalam masa yang sama juga, menjana peluang-peluang bagi negara kita untuk mempertingkatkan ekonomi negara, khususnya dalam industri-industri yang berkaitan dengannya,” ujarnya.
Tambah Ahmad Puzi, setiap negara yang hadir di LIMA 2017 ini mempunyai kemampuan yang berbeza dan Malaysia harus bijak membuat perbandingan teknologi dengan teknologi tempatan dalam usaha untuk menyokong anak-anak tempatan.
“Tentunya bagi pengguna, kita akan melihat perbandingan-perbandingan dan tentunya analisa yang terperinci kita laksanakan. Dari analisis itu, kita melihat kesesuaiannya bagi kegunaan kita. Dalam masa yang sama juga kita sentiasa berusaha untuk menyokong industri tempatan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar bergambar bersama kapal Airfish 8, teknologi terkini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hasil kerjasama dengan Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) dan syarikat AS Aero Services.
“Bermakna kalau kita mempunyai teknologi yang baik, tidak kurang hebatnya dengan industri-industri luar negara, ini memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk bersama-sama mengukuhkan lagi sistem pertahanan negara kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Puzi berharap semua teknologi yang dibawa dapat dimanfaatkan.
“Kalau kita tidak membelinya tetapi kita tahu teknologi tersebut ada, maknanya kita sentiasa memikir ke hadapan. Kita tahu kegunaan peralatan seumpama ini dan kita memikirkan cara mana kalau kita kena mematahkannya.
“Itu ialah satu pemikiran secara strategik yang harus dimiliki oleh semua peringkat yang terlibat dalam pertahanan, penguatkuasaan dan dalam apa jua sekalipun yang harus dilaksanakan dengan cara yang terbaik. Kepentingan negara itu sentiasa di hadapan,” tegasnya.