Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kerajaan Negeri Johor Komited Bantu Rakyat Miliki Tanah Sendiri

By 16 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Nor Adilah Abdullah / Foto: Mohd Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Penantian penduduk Kampung Sri Aman sejak 2011 akhirnya berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan 81 permohonan tanah berkeluasan 0.408 hektar.

Bagi salah seorang penerima tanah, Zul Abidin Wan Chik, 61, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan permohonannya bersama-sama pemohon lain untuk mendapatkan hak milik tanah tersebut.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan ini kerana tanah ini dapat diusahakan dan akan menjadi punca rezeki menyara keluarga. Pengurniaan ini amat besar maknanya kepada kami,” katanya.

Salah seorang penerima menerima geran (1)

Salah seorang penerima terpilih menerima geran tanah

Kegembiraan sama turut dirasai Norizan Mohamed, 52, yang bercadang untuk mengusahakan tanah pertanian seluas satu hektar yang diperolehinya dengan tanaman kelapa sawit.

“Alhamduillah dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang bersungguh-sungguh membantu rakyat, lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.

Menurut Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin, pemberian hak milik tanah itu merupakan inisiatif kerajaan bagi mengiktiraf dan menghargai penduduk yang selama ini bekerja keras membantu dalam aspek pembangunan sosial serta ekonomi di Johor.

“Saya harap penerima mengusahakan tanah ini dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan pemberian kerajaan negeri dan sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang begitu sabar menunggu malah nilai sebenarnya jauh lebih tinggi daripada premium yang dibayar,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Tanah Kampung Sri Aman, kelmarin.

Ucapan oleh Menteri Besar Johor

Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin memberikan ucapan pada Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Tanah Kampung Sri Aman

Dalam pada itu, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi, Zainal Eran memberitahu, sebanyak 2,569 permohonan telah diterima pada tahun 2011 melibatkan tanah berkeluasan 44.348 hektar dan telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri Johor pada akhir 2016.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tenggara, Halimah Saddique dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Adham Baba.

– AH

Tinggalkan komen anda