
Laporan oleh : Parameswary Lekshmnan / Foto oleh : Norlydiana Ishak
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sasar kira-kira 25,000 orang pengunjung Pameran Halal Antarabangsa (MIHAS) tahun ini berbanding 22,000 orang yang hadir pada tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Mohd. Shahreen Zainoreen Madros, sasaran itu bakal dicapai melalui penyertaan lebih daripada 550 syarikat halal dari 30 buah negara pada edisi kali ke-14 ini.
China, Arab Saudi, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan merupakan antara negara Asia yang turut menyertai MIHAS 2017.
Tambah Shahreen Zainoreen, MIHAS 2017 juga dijangkakan mencatatkan pertumbuhan jualan antara empat hingga lapan peratus berbanding kutipan tahun 2016 yang mencatatkan jumlah RM1.14 bilion.

Produk halal Malaysia kian mendapat tempat di pasaran dunia dan menjadikan kita sebagai hab utama industri itu – Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr. Mohd. Shahreen Zainoreen Madros (dua dari kiri)
“Industri halal mempunyai potensi yang tinggi berikutan peningkatan masyarakat beragama Islam di serata dunia dan MIHAS memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi ekonomi Islam,” katanya.
Sebelum ini MIHAS telah menjana pendapatan melebihi RM16 bilion (USD 3.8 billion) melalui pameran dan program berkaitan perniagaan dalam jangka masa 13 tahun (2004-2016).
Jelasnya lagi, Malaysia mempunyai ekosistem yang sesuai serta kepelbagaian dalam industri yang menjadikannya sebagai peneraju utama penghasilan produk halal di dunia.
MIHAS kali ini terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu pameran dan jualan produk makanan, produk bukan makanan dan perkhidmatan di mana ia mewujudkan pasaran bagi syarikat-syarikat dari dalam dan luar negara mempromosi serta mengembangkan perniagaan berlandaskan Islam.
MATRADE turut melancarkan semula logo MIHAS dengan penjenamaan baharu yang mencerminkan perkembangan dinamik pasaran Islamik seiring dengan peredaran masa kini.
Menarik tahun ini, pelancaran Malaysia International Islamic Lifesytle Exhibiton (MILE) yang merupakan acara julung kali diadakan sempena MIHAS bagi mempromosikan gaya hidup berasaskan Islamik.
MIHAS 2017 akan diadakan dari 4 hingga 8 April 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).