Skip to main content
Berita TempatanSabah

‘Buku Jalanan Ranau’ Ajak Masyarakat Bedah Buku

By 9 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Hazlinah Samsir / Foto: Farhana Rehinin (Sabah)

RANAU, 9 Mac (Malaysiaktif) – Budaya membaca bukan lagi suatu perkara baharu yang menjadi norma kehidupan dalam dalam kalangan anak muda hari ini. Walaupun dunia canggih kini penuh dengan  informasi digital, namun maklumat dan penceritaan melalui terbitan sesebuah buku masih menjadi pilihan pembaca.

Jika selama ini alunan muzik jalanan membuai hati dengan alunan irama memecah kesunyian namun berbeza dengan perjuangan tujuh anak muda yang bergerak memperjuangkan aktiviti membaca sebagai satu cara kehidupan yang perlu subur dalam kalangan belia hari ini.

Usaha yang dilaksanakan mereka melalui gerakan ‘Buku Jalanan Ranau (BJR)’ ini dilihat suatu pilihan kepada belia untuk mendekati ilmu dari segi bacaan dan seterusnya berkongsi maklumat sesama rakan yang pastinya melahirkan jiwa belia merdeka dan bersatu.

BJR 1

BJR siri 1

Menurut Sofia Atiqah Rehinin, 26, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pui Hwa Menumbok sanggup merentas perjalanan sejauh 270 kilometer hanya untuk menjayakan program BJR.

Program ini merupakan suatu usaha untuk menggalakkan belia dan penduduk menjadikan tabiat membaca buku sebagai medium pertemuan para pencinta buku di daerah tersebut.

“Tujuan kami adalah untuk menggalakkan masyarakat untuk mendekati buku dan mengalu-alukan penggemar buku berkongsi minat dan kandungan buku yang dibaca.

“Program ini sebagai suatu pendekatan baharu kepada peminat buku berkongsi buku bacaan mereka sambil meningkatkan keyakinan diri untuk tampil ke hadapan ‘membedah’ buku hasil bacaan mereka.

Jelasnya, Ranau ialah suatu kawasan indah, nyaman dan menarik bagi pengemar buku melepaskan isi hati dengan membaca buku kegemaran mereka. Melalui pengisian buku jalanan ini, para pengemar buku berpeluang meluahkan pandangan dan perasaan terhadap kandungan buku yang dibaca?.

Peserta  pelbagai peringkat umur yang menyertai BJR siri 10 bertemakan ‘Inspirasi’.

Peserta pelbagai peringkat umur yang menyertai BJR siri 10 bertemakan ‘Inspirasi’.

“Bagi pendengar pula, kehadiran mereka mendengar sesi ‘bedah’ buku tersebut mampu menyemai rasa suka membaca sekali gus meningkatkan keyakinan diri untuk meluahkan pandangan dan pemahaman daripada pembacaan,” jelasnya ketika ditemu ramah selepas perjumpaan siri ke-10 di Taman Awam Ranau, pada Sabtu.

Menurut Sofia, mereka mendapat inspirasi pelaksanaan BJR ini daripada Buku Jalanan Titi yang kini memasuki siri jelajah yang ke-80.

“Pada awalnya, kami tidak menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 15 orang sahaja, tetapi setelah kami mula membuat hebahan melalui media sosial, semakin ramai menyertai perjumpaan kami sehingga mencapai 100 orang pada siri kali ini.

“Ini tentunya memberi kami semangat untuk terus mengadakan program ini dan yakin dengan sedikit dorongan dan pendekatan santai kita mampu membentuk sikap suka membaca dalam kalangan belia,” katanya.

Dalam pada itu, Halizah Abdul Halim, 37, berasal dari Kota Marudu turut tidak ketinggalan dalam menyertai BJR apabila ada kelapangan waktu.

“Sekiranya sekolah tidak mempunyai aktiviti pada hari BJR berlangsung, saya akan hadir untuk berkongsi bahan bacaan saya sambil mendengar ulasan pembaca yang lain di perjumpaan tersebut.

“Sebelum siri 10 yang bertemakan ‘inspirasi’ ini, saya menghadiri siri kelapan yang bertemakan ‘Cinta’. Saya utarakan buku penulis Indonesia bertajuk Hujan yang ditulis oleh Tere Liye.

“Untuk kali ini, saya utarakan buku yang sememangnya amat memberi inspirasi kepada saya bertajuk Pujuklah Hati karya Bonda Nor, sebuah buku tarbiah rohani yang amat berkesan buat diri saya.

“Pada pandangan saya, BJR memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengutarakan pendapat peribadi tentang apa yang telah dibaca.

Masidi membedah buku ‘How to Win Friends & Influence People’ hasil tulisan Dale Carnegie.

Masidi membedah buku ‘How to Win Friends & Influence People’ hasil tulisan Dale Carnegie.

“BJR merupakan pentas yang amat sesuai serta santai yang dikendalikan oleh belia yang bersemangat tinggi dan sangat menarik untuk saya turut menyertai aktiviti ini,” katanya yang juga bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Pahu Himbaan Ranau.

Perjumpaan BJR Siri 10 di daerah ini turut disertai oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun dengan turut berkongsi hasil bacaan sebuah buku yang menjadi kegemarannya.

Masidi menyatakan ada sebuah buku yang banyak mempengaruhinya supaya tidak malu serta mendidiknya lebih yakin apabila berada di khalayak orang ramai.

“Setiap kali saya berasa sedih dan berada dalam situasi memerlukan dorongan menyelesaikan sesuatu masalah, saya lebih gemar membaca buku tersebut sebagai satu alternatif pilihan merungkai persoalan mencari penyelesaian dan buku itu ialah ‘How to Win Friends & Influence People’ ?hasil ?tulisan Dale Carnegie.

Sempena program itu juga, Masidi memberikan sumbangan sebanyak RM6,000  kepada Penggerak BJR untuk membiayai aktiviti program tersebut pada masa akan datang.

-SF

Tinggalkan komen anda