Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penemuan Unik, Misteri Gua Batu Sirih

By 25 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 Oleh: Yahya Abdul Rajak / Foto: Vicky Sylvester (Sabah)

KUDAT, 25 Mac (Malaysiaktif) – Jika di Sarawak, penemuan fosil manusia berusia 40,000 tahun dahulu menjadikan gua tertua di dunia, Gua Niah menjadi tumpuan masyarakat dunia. Di Sabah pula penemuan baharu gua batu kapur di Pulau Balambangan pastinya membuka ruang untuk kajian sejarah berkaitan gaya hidup masyarakat terdahulu.

Gua batu kapur di daerah kecil Kudat ini menyimpan suatu khazanah alam yang tidak ternilai harganya selain penuh misteri untuk diungkap disebabkan tiada rekod atau cerita tepat terhadap penemuannya.

gua 1

Awang Syairin Awang Bakar ketika ditemu ramah.

Menurut Penolong Pegawai Daerah Kecil Banggi, Awang Syairin Awang Bakar, 56, penemuan gua batu kapur ini secara rasminya ditemui pada 2014 hingga membawa kepada tindakan lawatan yang diketuai sendiri oleh Pegawai Daerah, Sapdin Ibrahim.

Awag ditemui semasa mengadakan lawatan ke gua terbabit pada Jumaat sempena Program Kembara Media ke Kudat, Pulau Banggi dan Kota Belud.

“Hasil lawatan menunjukkan memang gua ini terlalu unik dan bernilai. Kewujudan gua ini sebenarnya telah diketahui awal oleh masyarakat tetapi disebabkan kurang pengetahuan tentang kepentingan gua tersebut menyebabkannya terbiar tanpa ada sebarang aktiviti berlaku di dalam gua tersebut.

Jelasnya lagi, mengetahui kepentingan gua ini untuk dijaga maka tahun lalu pulau ini telah diwartakan sebagai Taman Tun Mustapha yang membolehkan persekitaran pulau tersebut mendapat pengawasan sepenuhnya daripada kerajaan.

“Majlis Tindakan Pelancongan daerah kecil Banggi turut menawarkan kepada mana-mana institusi di negara ini untuk melakukan kajian tentang gua tersebut sebagai input kepada cara dan kaedah terbaik memajukan kawasan ini.

“Ketika ini kita telah membuat permohonan kepada Kementerian Pelancongan sejumlah 11 juta bagi menaik taraf kemudahan di kawasan tersebut agar lebih menarik dikunjungi pelancong.

“Ketika ini terdapat pelancong yang telah datang untuk melihat keindahan, keunikan dan keistimewaan khazanah di gua tersebut dalam kuantiti terhad sekitar lima hingga enam orang.

Kembara Media

Kembara Media Negaraku di Kudat

“Bagi pelancong yang ingin melawat dinasihatkan agar melakukannya pada sebelah pagi sahaja disebabkan cuaca sebelah petang agak berbahaya.

“Nama gua batu sirih ini yang terletak di Pulau Balambangan ilah bersempena wujudnya sebuah perkampungan di pulau tersebut iaitu Kampung Batu Sirih yang terletak sekitar lapan hingga sembilan kilometer,” ujarnya.

Selain itu, melihat kepada keindahan gua terbabit yang jelas lebih tulen tanpa diusik serta dipelihara alam menjadikan gua batu kapur yang memiliki keunikan berbanding gua batu kapur lain di negara ini.

Penduduk yang juga merupakan seorang pekerja Felcra Pulau Banggi dan pemandu bot, Ahmad Tajudin Eliasin turut berkongsi pengalaman menceritakan penemuan gua terbabit.

Menurutnya, sebelum gua terbabit diwartakan sebagai perlindungan di bawah Taman Tun Mustapha, sebenarnya kewujudannya telah lama diketahui umum masyarakat setempat.

“Kewujudan gua tersebut bukan sahaja diketahui oleh masyarakat setempat malah turut diketahui oleh pihak luar yang berminat terhadap kecantikan malah kepentingan batu kapur dan pasir di kawasan terbabit.

Ahmad juga pernah terlibat menghantar seorang bomoh ke gua terbabit berikutan terdapat sebuah syarikat yang ingin mendapatkan pasir berhampiran kawasan terbabit tetapi tidak berjaya disebabkan tiada persetujuan daripada penunggu gua dan bomoh tersebut.

gua 3

Bahagian dalam gua

“Saya tidak nafikan bahawa memang berlaku aktiviti memohon kebenaran di gua terbabit dengan melihat kepada tanda-tanda rutin meletakkan kain berwarna merah, kuning dan putih di kawasan terbabit sebelum ini.

Berdasarkan kepada pemerhatian, keunikan gua batu sirih terletak pada batu-batu yang terdapat di dalam gua tersebut yang terbentuk daripada batu karang, air masin dan hujan hingga bertindak membentuk beberapa permukaan batu yang unik dan bersinar seperti permata.

Tambahnya lagi, rugi jika tidak datang ke pulau tersebut yang pastinya memberi kepuasan melihat ketulenan alamnya terutama gua batu sirih.

Sebelum mengakhiri cerita menarik gua batu sirih, Ahmad turut memaklumkan gua yang terletak di Pulau Balambangan tersebut terkenal dengan kewujudan buaya air masin yang dilihat seperti pakej kepada pelawat yang berkunjung ke pulau terbabit.

Kembara Media Negaraku anjuran Jabatan Penerangan ini berlangsung sejak Rabu dan berakhir esok.

-SF

Tinggalkan komen anda