Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Penglibatan Bersama Kukuh Perpaduan Negara

By 20 Mac 2017Mac 31st, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Lim Ann Teck & Mohd Zakry Chan Abdullah

MELAKA, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Memasuki tahun kemerdekaan ke 60, masih terdapat segelentir besar generasi muda yang tidak memahami susah payah perjuangan generasi terdahulu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah.

Rata-rata masyarakat zaman kini khususnya generasi muda hanya mengingati tanggal 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu berbanding pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956 di Banda Hilir, Melaka, sekembalinya dari perundingan bersama Kerajaan British.

Menurut pelajar Universiti Malaya, Nazeehah Ziarat Khan, 24, biarpun bukan berbangsa Melayu atau India, sebagai warganegara Malaysia di bawah kategori bangsa lain-lain, dia berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Nazeehah Ziarat Khan

Nazeehah Ziarat Khan

“Saya akan mempertahankan kedaulatan negara ini kerana saya lahir dan besar di sini,” tegas Nazeehah yang ditemui ketika menyertai Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2017, di Politeknik Merlimau, di sini, semalam.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Melaka dengan kerjasama Politeknik Merlimau ini mengetengahkan aspek kemerdekaan, perpaduan serta menggalakkan penglibatan golongan muda dalam hal kenegaraan.

Seorang lagi peserta, juga dari Universiti Malaya, Tay Yih Yih, 24, dalam pidatonya berkata “saya memilih tajuk ‘Merdeka, Untukmu Malaysia’ kerana saya ingin menjadi warga negara yang lebih bertanggung jawab.”

Tay Yih Yih

Tay Yih Yih

“Pokok yang kita tanam hanya ambil masa 10 tahun mengeluarkan hasil tetapi manusia akan mengambil masa lebih lama untuk faham erti kemerdekaan dan bersedia berkorban untuk negara.

“Saya membuat kajian tentang sejarah kemerdekaan negara dan memahami penat lelah dan keperitan pejuang terdahulu seperti Dol Said, Mat Kilau, Datuk Bahaman semasa menentang penjajah durjana. Pejuang-pejuang ini tidak mengharapkan habuan tetapi berjuang untuk membebaskan negara ini dari penjajah,” jelasnya.

Tambah Yih Yih yang berasal dari Sabah, generasi muda perlu menghargai dan mempertahankan kedaulatan negara di samping menyeru semua orang untuk memainkan peranan mempertahankan kemerdekaan negara Malaysia yang tercinta.

Nakirudin Zainal

Nakirudin Zainal

Dalam pada itu, Nakiruddin Zainal, 19, dari Johor berkata dia kini lebih memahami erti kemerdekaan dan kepentingan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Malaysia selepas mendengar hujah-hujah yang disampaikan oleh para pemidato.

“Tiada orang lain yang sedia berjuang untuk negara kita melainkan diri kita sendiri,” ujar pelajar Politeknik Merlimau itu ketika ditanya kesanggupannya berkorban untuk negara jika diserang.

Manakala, seorang pelajar tahun akhir Politeknik Merlimau, Mohamad Izhar Zaharuddin, 19, berkata “saya lebih faham sekarang tentang erti perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Kita mesti bersatu dan bekerjasama mempertahankan negara tercinta ini.”

Izhar Zaharuddin

Izhar Zaharuddin

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Mohamad berkata negara kita kini menghadapi masalah penyebaran maklumat tidak sahih dalam media sosial yang boleh menjejas atau mendatangkan kemudaratan kepada kedaulatan negara.

“Generasi muda diharap tidak menularkan maklumat yang tidak disahkan kesahihannya kerana akibat jejari kecil inilah tanpa disedari boleh merosakkan perpaduan rakyat negara ini,” serunya.

Datuk Wira Hj Othman menyampaikan ucapan perasmian

Datuk Othman Mohamad ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Di samping itu, Othman turut menyeru peserta pemidato untuk terus menularkan maklumat penting tersebut kepada rakan-rakan sebaya sama ada di universiti atau kolej masing-masing supaya mereka dapat memahami erti kemerdekaan dan penting perpaduan demi masa depan negara ini.

 

-DZ/AH

Tinggalkan komen anda