Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengorbanan Wira Tanduo, Inspirasi Belia Bersatu

By 6 Mac 2017Mac 8th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Municca Kiat (Sabah)

LAHAD DATU, 6 Mac (Malaysiaktif) –Pertempuran membebaskan tanah merdeka yang diceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu memberi inspirasi kepada belia daerah berkenaan untuk bersatu mempertahankan kedaulatan Negara menerusi program ‘Ride For Tanduo’.

12 Februari 2013, suatu tarikh yang sukar dilupakan apabila Kampung Tanduo diceroboh sekumpulan pengganas yang dikenali sebagai mengikut Jamalul Kiram III mendarat di perkampungan terbabit.

Konvoi berbasikal Ride For Tanduo mengelilingi Bandar Lahad Datu dengan mesej Peringkati Peristiwa Tanduo.

Konvoi berbasikal Ride For Tanduo mengelilingi Bandar Lahad Datu dengan mesej mengingati Peristiwa Tanduo.

Peristiwa Tanduo membuka lembaran perit di bumi bebas merdeka Malaysia dengan menyaksikan pertumpahan darah lapan wira perajurit gugur mempertahankan kedaulatannya.

Menurut penganjur, Syukri Musleh, pelaksanaan Ride For Tanduoini mengajak belia bersatu mengingati para pejuang yang terkorban mempertahankan tanah air ini.

“Empat tahun berlalu, perjuangan dan pengorbanan wira terkorban perlu terus subur diingati terutama dalam kalangan belia agar tidak lupa pada kejadian tersebut.

IMG_1608

Jelasnya, melalui penganjuran ini tumpuan tidak sahaja kepada belia tetapi orang ramai di daerah ini agar terus mempertahankan daerah ini daripada diperkotak-katik oleh individu yang cuba mencetuskan keganasan di daerah ini.

“Antara pengisian selain konvoi berbasikal ini para peserta turut didedahkan dengan taklimat daripada ESSCOM tentang peristiwa terbabit.

“Diharap melalui penganjuran ini seluruh masyarakat di daerah ini terus bersatu agar tiada lagi kejadian pencerobohan berlaku dan marilah kita berdoa agar Lahad Datu terus dilindungi,” ujarnya semasa ditemui Malaysia Aktif selepas program terbabit.

Sementara itu, peserta berbasikal, Mohd Isyraf Raffie, 17, anak jati Lahad Datu berasa bangga dapat menyertai aktiviti ini. Dia pada mulanya menyertai program ini sebagai mengisi masa lapang tetapi sebaliknya seperti tersedar tentang peristiwa Tanduo.

Syukri bersama Kemelia selaku penganjur bersama Ride For Tanduo.

Syukri bersama Kemelia selaku penganjur bersama Ride For Tanduo.

“Program ini menyedarkan saya semula perlunya bersatu dan jangan lalai untuk terus pertahankan tanah air ini. Diharap selepas ini akan ada lagi aktiviti ke arah kesedaran pentingnya belia bersatu agar daerah ini kembali ceria dan dikunjungi para pelancong.

Manakala bagi Salmah Untung, 34, berkata masyarakat Lahad Datu tentunya masih mengingati peristiwa ini terutama belia, sewajarnya mengambil pengajaran terhadap apa yang telah berlaku.

“Program ini beri kesedaran kepada saya, mulanya ingin beriadah untuk kesihatan tetapi mula memikirkan warga Lahad Datu wajar menjadikan tarikh ini sebagai suatu tarikh yang perlu diperingati.

“Jika perajurit membebaskan tanah air diingati melalui Hari Pahlawan ataupun sambutan 31 ogos sebagai tarikh kemerdekaan maka bulan Mac wajar diingati masyarakat Lahad Datu sebagai hari perjuangan membebaskan negara daripada penceroboh di daerah ini.

“Saya berharap agar akan ada lagi pelbagai program sepanjang bulan ini untuk mengingati pengorbanan para pejuang tersebut,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, pelaksanaan program ini adalah tepat dalam usaha mengingati perajurit yang terkorban ketika melindungi negara khususnya di daerah ini.

Peserta turut bergambar bersama Nasrun selepas acara tersebut.

Peserta turut bergambar bersama Nasrun selepas acara tersebut.

“Aktiviti ini dilihat berjaya menyedarkan penduduk Lahad Datu terhadap peristiwa tersebut seterusnya berjaya menanamkan semangat cinta dan sayang akan daerah ini terutama dalam kalangan belia.

Nasrun turut memberi jaminan bahawa program ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai lagi pengisian lain sebagai usaha berterusan untuk mengajak masyarakat bukan sahaja di daerah ini malah seluruh rakyat di Negara ini.

“Diharap masyarakat di luar daerah ini termasuk pelancong agar tidak perlu bimbang dan takut terhadap keselamatan diri ketika berada di daerah ini kerana Lahad Datu kini memiliki agensi dan petugas yang komited memastikan keselamatan setiap parapenduduk.

“Kerajaan telah membina satu rangkaian keselamatan yang jitu dalam memastikan tiada lagi kejadian pencerobohan berlaku di daerah ini, semoga warga penduduk juga terus memberi kerjasama membantu bersama penguat kuasa memastikan keselamatan di daerah ini terus terjamin,” katanya semasa merasmikan program Ride For Tanduo di Dataran Palma pada Sabtu.

Seramai 170 peserta berbasikal dan 80 motosikal telah menyertai program ini buat julung kali ini dimana para peserta berkayuh sejauh enam kilometer bermula di dataran Palma Bandar Lahad Datu sambil membawa mesej mengingati peristiwa Tanduo.

SF

Tinggalkan komen anda