Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tidak Perlu ke Maldives, Pulau Sipadan Selamat, Cantik

By 27 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan & foto oleh Fauzrina Hj Bulka

SEMPORNA, 27 Mac (Malaysiaaktif) – “Rakyat tidak perlu ke luar negara seperti Maldives atau Mauritius kerana Pulau Sipadan tersedia selamat dan cantik untuk dikunjungi.”

Demikian kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad semasa Program Jalinan Kasih yang berlangsung di sini pada Sabtu.

WhatsApp Image 2017-03-27 at 11.45.15 AM

Pulau Sipadan yang cantik dan selamat

Terletak di pulau lautan berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah, Malaysia, Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut.

Pulau Sipadan terkenal sebagai antara pilihan tempat bagi aktiviti menyelam skuba yang terbaik setelah tersenarai antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia menerusi keputusan undian umum yang dikeluarkan oleh organisasi tunggal bagi tujuh keajaiban terbaik dunia (New Seven Wonders of Nature votes committee) pada Julai 2009.

Dalam program tersebut, Zarah turun padang untuk melihat sendiri pengorbanan anggota tentera yang menjaga perairan negara selama ini di perairan daerah ini iaitu Sipadan, Kapalai dan Mabul.

Zarah dan Ibrahim dalam program Ziarah Kasih

Zarah dan Ibrahim dalam program Ziarah Kasih

Menurut Zarah, kehadiran rombongan KKMM ke Sipadan diharap dapat menjiwai perasaan tentera yang menjaga keamanan negara kerana ada juga antara mereka telah lama tidak berjumpa dengan keluarga.

“Mungkin ada rakyat di negara ini masih tidak faham, inilah sebenarnya #NegaraKu, inilah sebenarnya semangat patriotisme, rasa cinta dan kasih sayang kepada negara yang sangat jelas,”katanya ketika ditemui.

Namun begitu, menurutnya rakyat juga haruslah mempunyai semangat patriostisme, walaupun tidak berjuang memegang senapang seperti yang dilakukan oleh tentera, tetapi masih boleh dilakukan dengan menyumbang kepada negara.

Lawatan ke pusat penetasan penyu

Lawatan ke pusat penetasan penyu

“Sayang kepada alam sekitar, jaga keluarga dengan baik dan menghormati wanita, pada saya itu juga merupakan satu semangat patriotisme,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahman berkata lawatan itu merupakan satu lagi lanjutan usaha Jabatan Penerangan (JaPen) yang melaksanakan tanggungjawab untuk mendekati masyarakat walaupun kawasan yang jauh di pedalaman.

Menurutnya, amat perlu bagi jabatan untuk menghubungi pihak tentera dan memberikan kata-kata semangat kerana mereka telah memainkan peranan dengan berkawal di perairan negara bagi mencegah pencerobohan dengan jayanya.

“JaPen sedang dalam rangka melaksanakan program ‘Negaraku Malaysia’ yang merupakan tema hari kebangsaan 2017 untuk menaikkan semangat patriotik masyarakat. Dalam konteks ini kita sedang merancang untuk mengadakan satu program di daerah ini iaitu “Negaraku Malaysia Komuniti 1Malaysia”.

“Kita mengharapkan seluruh warga Semporna dan juga kawasan sekitar agar dapat menzahirkan rasa cinta pada negara dengan menyertai program-program yang sedang kita rancang,” katanya.

Sementara itu, Prebet Md Muizzudin Md Saat, 22 yang bertugas menjaga perairan Pulau Sipadan berkata mereka sentiasa bersiap siaga untuk memastikan keselamatan pengunjung dan pelancong ke Pulau Sipadan.

Mohd Muizzudin

Mohd Muizzudin

“Kami sentiasa membuat rondaan ke kawasan sekeliling pulau kerana keselamatan pengunjung merupakan tanggungjawab kami di sini.

“Sebagai tentera mereka perlu sentiasa reda dengan apa-apa juga yang bakal berlaku pada hari kemudian, sementelah beberapa ancaman daripada pengganas sebelum ini menjadikan mereka lebih berhati-hati.

“Sebelum keluar menjalankan tugas dan meninggalkan keluarga, saya turut menjelaskan kepada mak  ayah tentang peranan saya kepada negara dan mereka turut mendoakan keselamatan saya,” jelasnya.

Muizzudin yang memang meminati tentera sejak usia muda sebenarnya menjadikan ayahnya, Sarjan Md Saat Idris yang telah berpencen sebagai idola untuk bertugas demi negara.

“Saya merasai sendiri pengorbanan ayah semasa bertugas dahulu yang terpaksa meninggalkan anak dan isteri, dan pengalaman ini menjadikan saya lebih menghargai ibu bapa saya.

“Pengunjung yang merancang hendak beriadah ke pulau-pulau di Sabah tidak perlu risaukan keselamatan mereka kerana kehadiran anggota tentera di pulau-pulau mampu menjaga mereka,” kata Muizzudin lagi.

Dia turut mengajak para belia untuk bersama-sama berkhidmat untuk negara dengan menjadi tentera kerana selain dapat pengalaman yang berharga, menjadi tentera dan mengajar dan mendidik individu menjadi penyabar, kuat dan berdikari.

Turut hadir Pengarah Penerangan Sabah, Suwadi Guliling.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda