Skip to main content
Berita TempatanSabah

1,600 Belia Tawar Diri Bekerja

By 29 April 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan & foto: Adelaidah Arshad (Sabah)

LAHAD DATU, 29 Apr (Malaysiaktif) – Seramai lebih 1,600 belia menawarkan diri untuk memiliki pekerjaan dalam pelbagai sektor pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Pelaksanaan program Jelajah Karnival Kerjaya 2017 di Dewan Masyarakat Tun Mustapha semalam berjaya menarik minat bukan sahaja belia di daerah berkenaan malah belia dari daerah Kunak.

Jelajah Karnival yang bermula pada 24 April lalu bakal berakhir hari ini di Daerah Sandakan setelah menjelajah di beberapa buah daerah lain seperti di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

Seramai 1000 belia berjaya didaftarkan pada program tersebut yang menawarkan sebanyak 500 kekosongan jawatan.

Kekosongan jawatan tersebut terbuka kepada pengambilan seramai 110 berkelulusan siswazah dan 390 bukan siswazah, manakala sebanyak 21 majikan daripada sektor swasta, tiga penyedia latihan dan 11 daripada jabatan serta agensi kerajaan turut menyertai program tersebut.

Mohd Asnawi Salleh.

Mohd Asnawi Salleh.

Seorang penemu duga daripada Syarikat Kretam Holding Berhad, Mohd Asnawi Salleh, 29, berkata penganjuran program ini sebenarnya suatu yang memberi harapan kepada belia yang sedang mencari pekerjaan.

“Dulu saya juga sebahagian daripada belia yang hadir pada hari ini, tapi kali ini saya hadir di dewan ini semula tapi bukan sebagai pencari kerja tetapi sebagai penemu duga.

Tambahnya, program ini merupakan platform terbaik dan bermanfaat kepada pencari kerja khususnya para graduan yang menganggur.

“Melihat kepada kehadiran belia hari ini saya faham betapa peritnya untuk mencari pekerjaan dan situasi ini memberi peluang untuk saya membantu menawarkan pekerjaan selagi belia terbabit sanggup berkhidmat dan tidak memilih pekerjaan,” ujarnya.

Mohd Asnawi ketika ini merupakan seorang Ketua Kerani di Syarikat Kretam Holding Berhad yang berpejabat di daerah terbabit.

Jelasnya, peluang untuk mendapat pekerjaan menerusi karnival sebegini amat tinggi kerana majikan dapat melakukan penilaian dan tapisan secara langsung kepada calon yang datang.

“Keputusan tidak perlu menunggu lama kerana permohonan akan diproses secepat mungkin bagi mengisi kekosongan yang ada,” ujarnya.

Nurasyikin (duduk kanan) sedang ditemu duga oleh pihak Kretam Holding Berhad.

Nurasyikin (duduk kanan) sedang ditemu duga oleh pihak Kretam Holding Berhad.

Sementara itu, peserta, Nurasyikin Shoh, 22, sanggup menempuh perjalanan sejauh 50km dari Kunak semata-mata untuk hadir ke Karnival ini.

“Saya sanggup hadir ke program ini dengan harapan memperoleh peluang pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan akademik saya.

“Namun, melihat kepada saingan yang ada ketika ini saya mula berharap agar mendapat apa-apa sahaja pekerjaan selagi sesuai dengan minat dan kebolehan saya.

Jelasnya lagi, demi mengejar impian bagi memperoleh pekerjaan jarak dari Kunak ke Lahad Datu bukan halangannya.

Dalam pada itu, seorang lagi pencari pekerjaan, Mohd Hafiz Zainal, 22, turut meluahkan rasa terima kasih kerana mengadakan program sebegini di daerah ini yang pastinya memberi peluang para pencari kerja seperti dirinya cuba merebut peluang yang ada.

“Saya sering hadir ke program sebegini dan hari ini saya berharap tuah menyelebelahi saya tapi jika tidak bernasib saya pasti tidak akan lepas peluang untuk mengikuti lagi program ini pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Mohd Fauzi Abdul Ghani memaklumkan seramai 29,764 pencari kerja aktif mendaftar dalam portal JobsMalaysia dan sebanyak 1,120 penempatan pekerjaan telah berjaya dilaksanakan sehingga 31 Mac lalu.

“Diharap dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan tahun ini dapat membantu lebih ramai lagi para pencari pekerjaan tempatan mengisi kekosongan yang ada.

Tambahnya, program anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Tenaga Kerja Sabah ini ialah suatu rantaian program sempena sambutan Hari Pekerja 2017 yang bertemakan ‘Pekerja Kreatif, Pencetus Inovasi’.

“Program tahun ini menawarkan kira-kira hampir 5,000 kekosongan jawatan di seluruh negara daripada pelbagai sektor dan kelulusan akademik.

“Jelajah yang bermula pada 24 April di Hotel Tabung Haji Kota Kinabalu bakal berakhir di Sandakan pada hari ini,” Jelasnya lagi.

Nasrun memukul gong sebagai simbolik perasmian pelaksanaan program terbabit.

Nasrun memukul gong sebagai simbolik perasmian pelaksanaan program terbabit.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Haji Datu Nasrun Datu Mansur pula berkata para belia jangan terlalu memilih pekerjaan.

“Belia tidak harus cerewet dalam mencari pekerjaan. Belia perlu mencipta pengalaman dan kemahiran untuk membina sebuah kerjaya pada masa hadapan.

“Belia perlu sentiasa merebut peluang menimba pengalaman dan kemahiran agar menjadi seorang pekerja mahir yang amat diperlukan negara ketika ini untuk mengelak kebergantungan kepada guna tenaga luar,” katanya semasa merasmikan program terbabit pada Jumaat.

Penganjuran karnival ini turut membuka ruang kepada belia dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup dan kesamarataan peluang terhadap golongan terbabit.

SF

Tinggalkan komen anda