
Oleh M Zakry Chan / Foto: Mohd Hatta Johari (Melaka)
MELAKA, 28 April (Malaysiaaktif) – Penggunaan aplikasi internet oleh kanak-kanak tanpa pengawasan ibu bapa menjadi faktor utama kegiatan jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak meningkat setiap tahun.
Mengikut statistik 2016, sebanyak 21,090,777 juta daripada 30,751,602 juta rakyat Malaysia merupakan pengguna internet di negara ini.
Menurut Deputi Superintenden Polis Saroja Egamparam dari bahagian D11 Polis DiRaja Malaysia, media sosial merupakan medium pilihan pelaku seksual.
“Media sosial dijadikan sebagai platform kerana dalam masa seminit sahaja mereka (pelaku seksual) boleh mendekati mangsa (kanak-kanak) dengan mengajak berkomunikasi tanpa menggunakan profil sebenar mereka,” katanya.
Saroja mendedahkan demikian dalam sesi perbincangan bertajuk ‘Memahami Jenayah Seksual dan Cabaran’ pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan! bertempat di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang menyempurnakan majlis penutupan seminar tersebut bersama isterinya, Fadilah Abdullah.
Seorang peserta seminar yang ditemui, Muguleswaran Pillay, 28, berkata peranan ibu bapa dalam memantau aktiviti anak-anak dalam talian media sosial amat penting.

Muguleswaran Pillay: “Peranan ibu bapa dalam memantau aktiviti anak-anak dalam talian media sosial amat penting.”
“Ini kerana kanak-kanak mudah terpengaruh akibat sikap ingin tahu mereka kepada perkara-perkara baru akan mendorong mereka terjebak menjadi mangsa jenayah seksual.
“Seminar ini memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman jenayah kepada golongan kanak-kanak pada masa kini,” ujarnya.
Bagi Faizal Jaafar, 34, seharusnya ibu bapa tidak memberi gajet kepada anak-anak mereka dalam usia yang terlalu awal.
“Tiada keperluan untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun untuk menggunakan aplikasi media sosial dalam kehidupan mereka.
“Kepentingan ICT untuk pelajaran kepada anak-anak harus dipantau dengan rapi supaya tidak terperangkap menjadi mangsa jenayah seksual. Laman sosial seperti Facebook dan aplikasi WeChat antara yang sering menjadi medium bagi pelaku jenayah seksual,” kata Faizal.
Selain itu, Azrufiza Mahmor, 37, berkata sebagai seorang ibu sudah pasti kerisauan terhadap isu jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak.
“Ibu bapa mesti memantau pergerakan anak-anak terutamanya dari segi aktiviti media sosial, anak-anak perlu dihadkan penggunaan media sosial agar pergaulan mereka tidak melampaui batas yang sepatutnya.
“Anak-anak juga perlu sentiasa diserapkan dgn nilai-nilai keagamaan dan ketuhanan agar sebati dalam diri dan tidak terpesong akidah mereka,” jelasnya.
Program Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak Hentikan!! Peringkat Negeri Melaka merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Persatuan Isteri Wakil Rakyat Melaka (BISTARI).