Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

OKU Kembar Cipta Kejayaan Bersama

By 28 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Hj.Bulka / Foto: Politeknik Kota Kinabalu (Sabah)

KOTA KINABALU, 28 Apr (Malaysiaktif) – Sepasang kembar Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak seiras mencipta pelbagai kejayaan bersama dalam bidang yang sama seiring individu normal.

Aidil Afiffat dan adiknya Aidil Asyraff Juakim, 21, yang sedang menuntut di Politeknik Kota Kinabalu merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran yang cekal mencipta kejayaan bersama.

Aidil Afiffat berkata, mereka seramai enam beradik kesemuanya dan amat meminati bidang sukan. Adik bongsu mereka yang kini berada dalam tahun empat juga merupakan OKU (Pendengaran).

“Kami menyokong minat adik-adik kami terutama sekali adik bongsu yang juga OKU dan saling memberi dorongan agar tidak merendah diri dan gunakan kelebihan yang ada dalam diri masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Rabu di Politeknik Kota Kinabalu dengan ditemani pensyarahnya, Darmah Abdullah untuk bantuan terjemahan bahasa isyarat.

Walaupun serba kekurangan, namun pencapaian mereka dalam bidang yang diminati sangat luar biasa serta memberi inspirasi kepada yang mengenali pasangan kembar ini.

Sekitar kejohanan Majlis Sukan Politeknik di Sabah.

Sekitar kejohanan Majlis Sukan Politeknik di Sabah.

Ketika Kejohanan Olahraga Pekak Kebangsaan di Johor pada Mac, Asyraff menyerlah dengan mendapat gelaran Olahragawan dan tuah tersebut berterusan pada Majlis Sukan Politeknik (MSP) apabila mendapat dua perak dalam acara olahraga 1500 meter dan 5000 meter manakala gangsa bagi 800 meter.

Sementara itu, Affifat pula berjaya mendapat tempat ketiga (Sukan Olahraga) dalam 8th Asia Pacific Deaf Games di Taiwan baru-baru ini.

“Ini merupakan penyertaan  kali pertama kami dalam MSP. Kami terpaksa bekerja keras untuk  bersaing dengan pelajar normal. Cabaran dan perasaan rendah diri sememangnya dirasainya.

“Pelajar normal mempunyai kelebihan berbanding mereka kerana fokus kami (OKU) agak terganggu sedikit pada awal larian untuk memastikan picu pistol telah dilepaskan sebagai tanda memulakan larian kerana kami tidak dapat mendengar bunyi tersebut.

“Kami terpaksa berpandukan pertolongan rakan yang memberikan isyarat di tepi trek sebagai tanda perlu memulakan larian di samping merasai sendiri getaran tembakan yang dilepaskan.

“Dalam sukan untuk komuniti pekak, tiada senjata digunakan dalam olahraga dan kami akan memulakan larian berpandukan kerlipan lampu yang diletakkan di setiap garisan permulaan,” jelasnya.

Pasangan kembar ini juga bersyukur kerana jurulatih sudi melatih mereka sama seperti pelajar normal lain serta menggalakkan pelajar OKU lain yang meminati sukan agar berani untuk menyertai pasukan politeknik.

Afiffat dan Asyraff kini sedang membuat persediaan mewakili atlet pekak ke Turki untuk Sukan Olahraga Pekak Dunia Deaflimpik pada Julai 2017 dan berharap dapat mencipta rekod baharu.

Selain cemerlang dalam sukan, kembar seiras ini turut cemerlang dalam kemahiran masakan. Pelajar jurusan Kemahiran Khas Hotel dan Katering ini turut memperoleh pingat emas dalam dekorasi kek pengantin anjuran Sabah Hospitality Arts and Food Innovation Exhibition (SHAFIEX) 2017 pada Mac lepas.

Ashraff (kanan) ketika memenangi emas pada pertandingan deko kek pengantin.

Ashraff (kanan) ketika memenangi emas pada pertandingan dekorasi kek pengantin.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Zainab Othman, komitmen dua beradik kembar ini amat membanggakan atas usaha tanpa kenal kekurangan diri untuk terus berjaya terutama pada kejohanan sukan olahraga di Turki nanti.

Tambahnya, seramai 261 peserta terdiri daripada 204 atlet dan 57 pegawai daripada 23 Politeknik seluruh Malaysia akan turut serta dalam kejohanan ini.

“Hasil daripada pembudayaan sukan dalam kalangan pelajar dan warga PKK yang berterusan, termasuk pencarian bakat pelajar dalam bidang sukan serta pembangunan fasiliti sukan yang terkini, PKK dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Khas Politeknik Terbaik sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik Malaysia (PolySEA) 2015 pada tahun lalu.

“Banyak program sukan yang disediakan di Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) sendiri melalui Majlis MSP bertujuan untuk mewujudkan budaya bersukan di Politeknik Malaysia.

“Antara usaha yang terlibat ialah mewujudkan15 Pusat Pembangunan Sukan (PPS) Politeknik di seluruh Malaysia dengan fokus diberi kepada sesuatu sukan di setiap politeknik negeri,” jelasnya.

Pada MSP 2017, Politeknik Tunku Sultan Bahiyah memperoleh tempat pertama dalam semua kategori dengan punggutan 10 emas, dua perak dan satu gangsa diikuti dengan Politeknik Ungku Omar di tempat kedua manakala tempat ketiga milik Politeknik Sultan Haji Ahmad Syah.

-SF

 

 

Tinggalkan komen anda