Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Neelofa Duta Belia Siri Kedua TN50

By 22 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Parameswary Lekshmnan & Norlydiana Ishak (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 10 tokoh belia daripada pelbagai bidang diperkenalkan sebagai Duta Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi Siri Kedua untuk mendukung tugas dan tanggungjawab dalam menyampaikan agenda TN50, di sini hari ini.

Antara Duta TN50 yang terpilih untuk mendengar suara dan hasrat generasi muda terhadap masa depan negara menjelang 2050 ialah artis tempatan, Noor Neelofa Mohd Noor, 29.

“Saya di sini bukan sebagai seorang selebriti tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang akan membantu menjadi penghubung antara kerajaan dan generasi muda dalam membentuk dan mencorakkan wawasan negara yang lebih dinamik,” kata Neelofa yang juga merupakan seorang usahawan Muslimah.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup yang turut terpilih sebagai Duta TN50 berharap semua belia dapat melibatkan diri dalam TN50.

“Saya berharap kesemua belia turut melibatkan diri dalam dialog ini memandangkan mereka boleh melontarkan pandangan dan hasrat mereka melalui platform media sosial yang mudah dicapai di bandar mahu pun di pedalaman,” katanya.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, pelantikan duta baru ini akan menerajui 13 duta sebelum ini.

“Pelantikan duta baru ini akan menerajui 13 duta sebelum ini dan dijangka akan membina gelombang yang lebih besar serta lebih hebat dengan membawa semangat dan agenda TN50 selain merancakkan program yang dirancang”, katanya pada sidang media memperkenalkan Duta-Duta TN50 Siri Kedua.

Tambah Khairy, setakat ini lebih 30,000 aspirasi telah berjaya dikumpulkan.

“Masa depan Malaysia bukan sekadar diukur melalui angka pencapaian pertumbuhan ekonomi semata-mata, perlu ada roh pembangunan yang datang dari kekuatan, kerohanian dan nilai-nilai kemasyarakatan serta kesenian yang akan mencorakkan negara kita,” jelasnya lagi.

WhatsApp Image 2017-05-22 at 6.25.35 PM

Khairy menegaskan bahawa program TN50 ini bukan propaganda kerajaan tetapi ia merupakan pentas luas bagi generasi muda menyatakan aspirasi mereka untuk masa depan negara.

Khairy turut mengumumkan pelancaran ‘TN50 : The Circles of The Future’ yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Mei ini di Bukit Kiara.

Mereka yang turut dipilih sebagai Duta TN50 bagi siri kedua ialah Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Izhar Ariff, Pengerusi Eksekutif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jufitri Joha, Pengarah Urusan JuaraGym, Ben Uzair, Ketua Pegawai Eksekutif IPEC, Dr Juliana Lim, Pengasas HelpSomebody’s, Dr Esther Michael, Pengurus Reef Check, Nadhirah Mohd Rifai, artis tempatan Sarawak (penyanyi lagu ‘Pengerindu Suba’), Gabriel Fairuz Louis, dan pemenang Anugerah Young Guns Art Awards Kuala Lumpur 2017, Anniketyni Madian.

– AH

Tinggalkan komen anda