Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Elak Gigitan Maut, Kerjasama Semua Pihak Dituntut

By 4 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh M Zakry Chan (Melaka)

AYER KEROH, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Jumlah kes demam denggi di Negeri Melaka dari 1 Januari sehingga 1 Mei 2017 mencatatkan penurunan dengan 611 kes direkodkan berbanding 911 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Daerah Melaka Tengah mendahului  senarai tahun 2017 ini sebanyak 471 kes, diikuti daerah Alor Gajah, 76 kes dan daerah Jasin, 68 kes.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Iskandar Shah Mohd Shah memaklumkan hal tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Denggi Daerah Melaka Tengah di Pejabat Daerah Melaka Tengah, di sini, semalam.

Iskandar Shah Mohd Shah

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Iskandar Shah Mohd Shah: “Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kediaman mereka bersih daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes”

Tambahnya, terdapat lima lokaliti wabak yang aktif di Daerah Melaka Tengah antaranya Jalan Dahlia Taman Bunga Raya, Desa Taming Sari, Taman Bunga Raya dan Taman Melaka Baru Seksyen 3.

“Beberapa operasi telah dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan dengan bantuan agensi berkaitan dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Antaranya, Ops Tangki, Gotong-Royong Perdana dan Penyemburan Nyamuk (fogging) di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Pembabitan masyarakat amat diharapkan dalam mencegah penularan wabak denggi ini. Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kediaman mereka bersih daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” tegas Iskandar.

Azizan Daud

Penghulu Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Azizan Daud: “Tindakan berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama PBT dalam menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes.”

Dalam pada itu, Penghulu Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Azizan Daud, 39, berkata tindakan berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

“Selain itu, pihak Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Udangan Negeri (JAPERUN) kawasan Ayer Keroh telah mengarahkan masyarakat setempat seperti Persatuan Penduduk Taman, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP), dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk bersama-sama menjalankan program gotong-royong dengan lebih kerap,” ujarnya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda