Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Tiga Beradik Mualaf Wakil Melaka ke Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2017

By 4 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: M Zakry Chan (Melaka) / Foto ihsan: Miesha Alisha Soffea Abdullah

AYER KEROH, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Tiga beradik saudara baru, Miesha Alisha Soffea Abdullah, 23, Nur Natasha Alisha Mohan, 17, dan Muhammad Sya’ban A.M.Mohan, 15, bakal mewakili Negeri Melaka dalam pertandingan Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2017 bermula hari ini hingga 6 Mei di Kuching, Sarawak.

Miesha yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) berkata sejak dia memeluk agama Islam pada tahun 2012, dia banyak mendalami ilmu dan belajar memahami Islam sebenar.

“Dorongan daripada ibu yang juga seorang mualaf telah memberi saya semangat menjadi Muslim yang benar-benar menghayati Islam.

Miesha

Miesha Alisha Soffea Abdullah, 23, bakal mewakili Melaka dalam kategori Syarahan Wanita.

“Syarahan ini merupakan minat saya sejak kecil. Dengan adanya pertandingan ini, saya boleh mengasah bakat dan yang lebih penting memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat,” ujar Miesha yang bakal bertanding dalam kategori Syarahan Wanita.

Sementara itu, adik-adiknya Nur Natasha Alisha dan Muhammad Sya’ban,  masing-masing bakal bertanding dalam kategori Wanita dan Lelaki Tilawah al-Quran.

Nur Natasha Alisha berkata sebagai saudara baru, dia banyak belajar daripada kelas-kelas bimbingan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Nur Natasha Alisha

Nur Natasha Alisha Mohan, 17, akan berentap dalam kategori Wanita Tilawah Al-Quran.

“Di samping itu, peranan ahli keluarga dan tunjuk ajar guru di sekolah menjadi pendorong untuk mendalami al-Quran. Setiap kalimah al-Quran yang dilafazkan harus menepati hukum tajwid supaya maksudnya betul,” ujar pelajar sekolah Teknik Bukit Piatu yang mengambil jurusan Sains Pertanian.

Pertandingan Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2017 ini merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak ini akan diadakan di Dewan Maj’ma Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah, Kuching, Sarawak.

Terdapat tiga kategori yang bakal dipertandingkan selama tiga hari tersebut iaitu Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran dan Syarahan Agama dan disertai oleh seramai 63 peserta yang mewakili negeri masing-masing.

Kontijen Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 Tahun 2017

Kontinjen Negeri Melaka ke Pertandingan Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2017 di Kuching, Sarawak.

Negeri Melaka diwakili oleh enam peserta terpilih iaitu Miesha Alisha Soffea Abdullah bagi kategori Syarahan Wanita manakala Ahmad Ramadhan Subra Rengasamy bagi kategori Syarahan Lelaki.

Bagi kategori Hafazan Wanita pula, diwakili oleh Aisyah Alviani Awil dan kategori lelaki oleh Tan Mike Foong. Seterusnya, bagi kategori Tilawah Al-Quran Wanita akan diwakili oleh Nur Natasha Alisha Mohan dan kategori Lelaki akan diwakili oleh Muhammad Sya’ban A.M.Mohan.

Ustaz Murad Ahmat Pegawai Pengiring Imam 1 Masjid Cina Melaka

Pegawai Pengiring Kontinjen Melaka, Imam 1 Masjid Cina Melaka, Ustaz Murad Ahmat.

Menurut pegawai pengiring kontinjen Melaka, Imam 1 Masjid Cina Melaka, Ustaz Murad Ahmat, 35, objektif  program ini diadakan adalah bagi mengukuhkan amal Islami dalam kalangan saudara Muslim yang baru memeluk Islam.

Dengan adanya pertandingan ini akan menjadi kayu pengukur menguji tahap pengetahuan dalam bidang al-Quran, tauhid, dan fiqah berdasarkan sukatan atau modul pembelajaran kelas fardu ain yang diikuti oleh saudara baru,” ujarnya.

 

-DZ

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda