Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Obesiti Dalam Kalangan Kanak-Kanak Semakin Membimbangkan

By 3 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh M Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Kadar peningkatan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan. Hasil kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia, hampir 30 peratus kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Menurut Pegawai Pemakanan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Aris Fadilah Abdul Wahab, peranan ibu bapa amat penting untuk memastikan anak-anak mereka tidak tergolong dalam kanak-kanak yang berlebihan berat badan.

“Ibu bapa yang kerap memberi makanan ringan kepada anak-anak mereka menjadi faktor utama meningkatnya masalah tersebut. Pengambilan gula tanpa kawalan menjadi impak negatif kepada kanak-kanak.

Aris Fadilah Abdul Wahab

Pegawai Pemakanan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Aris Fadilah Abdul Wahab.

Tambahnya, gaya hidup makan lewat malam serta kurang bersenam juga turut memburukkan lagi masalah ini.

“Kanak-kanak yang kurang terdedah dengan aktiviti fizikal dan lebih berminat bermain komputer, menonton televisyen dan bermain ‘game’ dalam telefon pintar akan cenderung menghadapi masalah berat badan dan obesiti,” jelasnya yang ditemui di Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika dan Taska KEMAS Parlimen Tangga Batu, semalam.

Kehadiran Ibu bapa

Antara ibu bapa yang hadir ke Bengkel Keibubapaan Tadika dan Taska KEMAS Parlimen Tangga Batu, semalam.

Bengkel tersebut dirasmikan oleh EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim di Arena Petanque Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), Pantai Kundur, di sini.

Majlis Perasmian

EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan, Datuk Ab Rahman Ab Karim (tengah) merasmikan bengkel tersebut.

Dalam pada itu, seorang ibu yang ditemui yang hanya ingin dikenali sebagai Sharifah Zilawany, 30, berkata ibu bapa harus memainkan peranan penting dengan menyusun jadual pemakanan anak-anak dengan betul.

“Pengambilan makanan segera harus dihadkan dan elakkan mengambil minuman bergas kerana kadar gulanya amat tinggi dan membahayakan kesihatan kanak-kanak.

Sharifah Zilawany

Sharifah Zilawany: Ibu bapa harus main peranan penting susun jadual pemakanan anak-anak dengan betul.

“Selain itu, aktiviti fizikal seperti bersenam, berbasikal dan berjalan pantas harus dilakukan tiga hari seminggu supaya dapat membakar kadar kalori dalam badan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang ibu muda, Noorazira Abdul Ghani, 28, berkata dia sentiasa memastikan pemakanan anak-anak adalah pemakanan sihat.

Noorazira Abdul Ghani

Noorazira Abdul Ghani: “Saya sering ikuti kelas-kelas pemakanan untuk menambah pengetahuan saya dalam isu pemakanan kanak-kanak.”

“Jadual pemakanan yang teratur, mengambil sarapan setiap hari sebelum ke sekolah. Kanak-kanak memerlukan enam gelas air kosong setiap hari dalam memastikan tubuh badan mereka segar dan bertenaga.

“Saya juga sering mengikuti kelas-kelas pemakanan anjuran Jabatan Kesihatan. Ini dapat menambah pengetahuan saya dalam isu pemakanan untuk anak-anak saya,” ujarnya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda