
Laporan: Malina Jamarin / Foto: Joanna Datuk Kitingan (Sabah)
KOTA KINABALU, 2 Mei (Malaysiaktif) – “Unduk Ngadau” bukan sekadar gelaran kepada seorang wanita yang dipilih dalam kalangan wanita Kadazandusun pada setiap kali sambutan Pesta Kaamatan di negeri ini tetapi lebih kepada aspek budaya dan adat resam.
Pemilihan seorang wanita yang bakal bergelar ‘unduk ngadau’ merupakan acara utama sekali gus menjadi penyeri kepada acara kemuncak perayaan Pesta Kaamatan bagi suku kaum Kadazandusun di negeri ini.
Menurut Pengerusi Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Joanna Datuk Kitingan, ‘Unduk Ngadau’ bukan sekadar gelaran kepada seseorang gadis yang mengikuti pertandingan tersebut tetapi lebih daripada itu.
Unduk atau tunduk bermaksud pucuk atau daun muda tumbuhan sementara ngadau atau tadau bermaksud matahari dalam keadaannya yang paling terang, melambangkan keremajaan yang mekar dengan kecantikan menggambarkan fizikal yang baik, kualiti kekuatan, bersemangat dan kasih sayang berada pada puncaknya.
Apabila nilai ini diterjemah kepada ‘Unduk Ngadau’ wanita terpilih antara wanita jelita yang memiliki nilai yang tinggi serta maksud yang lebih mendalam bukan sekadar penampilan fizikal semata-mata.
“Pemilihan seorang unduk ngadau dilihat dari aspek seperti disiplin merangkumi sikap proaktif, semangat berpasukan, serta semangat kesukanan.
“Aspek kedua lebih kepada keaslian pakaian tradisi yang dipakai atau diperagakan dengan perhiasan yang bersesuaian dan persembahan ketika cara berjalan dengan senyuman serta pandangan mata yang menarik.
“Semasa sesi soal jawab, peserta perlu penguasaan bahasa ibunda dengan baik, berkeyakinan dan boleh berkomunikasi dengan baik, lancar dengan jawapan yang tepat lagi berkualiti.
Jelasnya lagi, seorang gadis yang memenuhi kriteria berkenaan layak diberi gelaran tersebut serta kecantikan pula ialah bonus kepada peserta terbabit.
Penetapan kriteria ini diputuskan oleh badan induk KDCA serta turut di guna pakai di seluruh daerah sebagai kesinambungan pencarian Unduk Ngadau tersebut.
Jelasnya, penetapan ini penting sebagai usaha menjaga budaya warisan adat kadazandusun agar sentiasa jadi pegangan generasi akan datang.
“Gelaran unduk ngadau bukan suatu gelaran biasa seperti pertandingan ratu cantik ketika ini, ia adalah suatu gelaran warisan yang mendukung kesucian pengorbanan Huminodun iaitu lagenda suku kaum ini suatu masa dahulu.
Menceritakan legenda tersebut, Joanna berkata Huminodun merupakan anak gadis kepada Kinorohingan dan Suminundu yang sanggup dikorbankan sebagai pemberi rezeki kepada penduduk kampung.
Cerita mitos suku kaum berkenaan menggambarkan, kematian Hominodun menyebabkan bahagian tubuhnya berubah menjadi makanan seperti kepala menjadi kelapa, daging menjadi padi, darah menjadi padi merah, jari jemari menjadi halia, gigi menjadi jagung, lutut menjadi keladi dan bahagian lain menjadi pelbagai tumbuhan makanan.
Dengan nilai-nilai murni seperti semangat, kasih sayang, cantik dan sanggup berkorban inilah menjadi asas pemilihan Unduk Ngadau.
“Huminodun ialah simbol pengorbanan tidak ternilai hingga membawa kemewahan ekonomi hasil penanaman padi oleh masyarakat tersebut.
Tambahnya, atas pengorbanan tersebut unduk ngadau bukan sekadar gelaran malah meliputi penghormatan dan pengiktirafan tertinggi masyarakat suku kaum ini.
“Malah lebih utama, wanita yang bergelar unduk ngadau tersebut perlu sentiasa menjaga tingkah laku dan terus berbakti kepada masyarakat selama menerima gelaran tersebut seiring dengan pengorbanan Huminodun.
Joanna berkata demikian ketika ditemui wartawan Malaysia Aktif di pejabatnya sebagai perkongsian terhadap Pemilihan Unduk Ngadau pada sambutan Pesta Kaamatan disambut sepanjang Mei ini.
Sementara itu, Unduk Ngadau 2013, Immaculate Lojuki, 24, menyatakan untuk mendapatkan gelaran tersebut bukan pada kriteria tersebut sahaja tetapi juga memerlukan disiplin diri.
“Disiplin diri memastikan kita lebih berkeyakinan walaupun pada hakikatnya perasaan gemuruh tetap menyelimuti setiap kali menyertai pertandingan ini.
Immaculate yang turut memenangi beberapa siri pertandingan antarabangsa seperti Ratu Cantik dan memenangi gelaran Miss Sabah Earth 2014 serta Miss International Malaysia 2015 bagi mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa tidak menafikan Unduk Ngadau adalah berbeza.
“Rasa puas hati atas usaha dan disiplin yang diamalkan secara berterusan memang berbaloi apabila dinobatkan sebagai Unduk Ngadau pada tahun tersebut.
Dalam pada itu, Unduk Ngadau Tamparuli 2011, Jovenea Jim Lajim berkata tugas sebagai unduk ngadau banyak mendewasakannya menjadi lebih berkeyakinan, berdisiplin, menghargai diri serta lebih mengenali budaya dan adat suku kaum KadazanDusun dengan lebih jelas.
Jovenea yang kini merupakan seorang penyampai Berita TV di salah sebuah agensi kerajaan turut menyatakan pertandingan ini merupakan satu pertandingan yang berlandaskan budaya sepenuhnya.
“Gelaran ini secara tidak langsung telah membuka ruang dan peluang kepada saya untuk mencuba pelbagai bidang diminati seperti pengacaraan dan lakonan.
Ujarnya, terlalu banyak impak positif yang diperoleh melalui gelaran ini.
Pesta Kaamatan pasti tidak lengkap tanpa ada unduk ngadau yang menjadi salah satu penyeri kepada kemuncak perayaan.
Pertandingan yang pada mulanya lebih kepada penilaian pakaian tradisi mula berkembang sekitar tahun 1958 apabila KDCA memutuskan untuk mengadakan pemilihan ratu kebudayaan wanita.
Sejak itu, acara ini terus berkembang dan kekal sebagai pengisian utama sambutan Pesta Kaamatan di negeri ini.