
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian & JBPM Labuan
LABUAN, 25 Mei (Malaysiaaktif) – “Walaupun sering melihat anggota bomba bertugas semasa kes kecemasan seperti kebakaran dan kemalangan jalan raya melalui televisyen mahupun pameran agensi, namun melalui perkhemahan kadet bomba, saya dapat belajar merasai tentang penat jerih serta pengorbanan sebagai ahli bomba.”
Begitu luahan seorang peserta Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Zon Borneo 2017 dari Tenom, Sabah, Mohd Hanafi Md Nizam, 17 tahun.
Tambahnya, dia berasa bertuah kerana terpilih mewakili negeri Sabah ke perkhemahan tersebut.
“Ibarat mimpi menjadi kenyataan, segala hajat saya yang ingin menimba sedikit sebanyak ilmu berkaitan tugas anggota bomba melalui program tersebut terlaksana,” ujarnya gembira.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Hamdan Wahid, perkhemahan tersebut dapat memberikan pendedahan awal serta melatih mental dan fizikal pelajar supaya dapat menempuhi dugaan apabila di alam perkerjaan nanti.
“Pendedahan dari segi kawad kaki, penggunaan alatan pemadam api merupakan antara input-input berguna bagi mendidik para remaja yang menjadi ahli kelab kadet bomba ini untuk berkhidmat kepada masyarakat sekiranya khidmat mereka diperlukan apabila berlakunya kes-kes kecemasan.
“Selain itu, mereka turut menjadi ejen bagi menerangkan tentang sedikit sebanyak ilmu kebombaan kepada rakan sebaya mereka,” jelas Hamdan.
Dalam pada itu, peserta dari Lawas, Sarawak, Mohd Sahreli Morshidi, 17, impian dan minatnya untuk menjadi seorang pegawai bomba memang telah diidamkan sejak kecil.
“Saya kagum dengan disiplin serta kepantasan mengawal dan menyelesaikan kes-kes kecemasan seperti kebakaran oleh anggota bomba.
“Ilmu kebombaan melalui perkhemahan ini adalah amat berguna buat saya kerana melalui ilmu yang diterima itu akan dapat saya praktikkan kepada komuniti setempat sekiranya berlaku kes kebakaran ataupun kes kecemasan yang lain,” jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok Lawas itu.

Dua rakan baik, peserta dari Wilayah Persekutuan Labuan, Dayangku Noorafikah (kanan) dan Erma Arzeela (kiri)
Bagi peserta tuan rumah, Dayangku Noorafikah Awangku Ismail, 15, perbezaan jantina bukan penghalang bagi dia untuk turut serta menyertai perkhemahan itu, yang peserta remaja perempuannya juga agak ramai.
Dia dan rakan baiknya, Erma Arzeela Awang, 15, berasa bertuah kerana Labuan terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi perkhemahan Kadet Bomba Zon Borneo kerana mereka dapat mengenali rakan-rakan baharu dari Sabah dan Sarawak.

Seramai 108 peserta dari tiga buah negeri, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak, menyertai Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Zon Borneo 2017
Perkhemahan yang disertai seramai 108 peserta dari tiga buah negeri yang diadakan selama tiga hari bermula 22 Mei lalu di Kolej Matrikulasi Labuan menutup tirainya petang semalam. Majlis penutupan dirasmikan oleh Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Khalid Abdul Ghani.
Turut hadir, Pengarah JBPM Labuan, Zainal Madasin dan Pengarah JBPM Sabah, Nordin Pauzi.
-DZ