Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sirhajwan, Goo Fui Sing Ikon Belia Kota Belud

By 1 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan & Foto: Nur Azrean Makbul (Sabah)

KOTA BELUD, 1 Mei (Malaysiaktif) –Pengiktirafan atas kejayaan dua pemuda anak jati Kota Belud Mohd Sirhajwan Idek dan Goo Fui Sing sebagai Ikon Belia berjaya menjadi pembakar semangat bagi program ‘Santai Anak Muda Bersama Rahman Dahlan’ di Kota Belud.

Program yang menghimpunkan pelbagai persatuan belia daripada persatuan belia badan bukan kerajaan (NGO) dan politik menyaksikan satu lagi gelombang baharu menjayakan Transformasi Nasional 2050.

Kejayaan anak muda Sirhajwan menjadi salah seorang daripada lima guru terbaik dunia antaranya Tunisia, Sepanyol dan dua dari Rusia langsung tidak mematahkan semangat juang anak muda tersebut untuk menyahut cabaran sebagai bakal pemenang pada Anugerah Guru Global 2017 di Dubai pada Mei ini.

 
Sirhajwan ketika ditemui di kediamannya berkata, pengiktirafan yang diterima daripada program Santai Anak Musa Bersama Rahman Dahlan tersebut amat memberi semangat kepada saya sebagai anak jati di daerah ini.

“Saya merasa amat terharu dengan jemputan dan seterusnya diangkat sebagai salah seorang ikon belia muda di daerah ini.

“Ini merupakan suatu penghargaan yang berharga kepada saya malah kepada ahli keluarga saya dan memberi suatu tanggungjawab baharu kepada saya untuk terus memberi contoh terbaik kepada para belia di daerah ini.

Tambahnya, kejayaan yang diperoleh ini bukan mudah tetapi dengan semangat dan matlamat yang satu untuk terus harungi cabaran demi mencapai apa-apa yang diinginkan.

“Saya berharap belia di daerah ini perlu lebih bijak merebut sebarang peluang yang ada, gilap setiap bakat yang ada jadikan minat kepada suatu yang lebih bermakna.

“Belia tidak harus memandang rendah pada kebolehan diri dan jangan terlalu cepat berputus asa, kejarlah kejayaan kerana kejayaan berada di mana-mana selagi berusaha.

“Sekecil mana pun kejayaan tersebut merupakan suatu pencapaian bermakna dan setiap langkah yang terus diambil selepas itu ialah menuju kejayaan.

Sebagai seorang guru bahasa Inggeris, beliau turut merancang untuk terus mengembangkan penglibatan sekolah dalam bidang inovasi dan keusahawanan selain ingin mendalami konsep pembelajaran berasaskan projek serta celik maklumat (Project based learning and information literacy).

Selain mengharumkan negara apabila terpilih sebagai lima guru terbaik dunia, beliau turut pernah memenangi Biasiswa Macmillan untuk ke United Kingdom.

Beliau merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dan Ijazah Sarjana Pendidikan TESL IPG Kampus Gaya dan pelajar terbaik UiTM pada Majlis Konvokesyen ke-75 dengan mendapat Anugerah Khas Naib Cancelor.

Rahman menunjukkan tanda bagus bersama Goo Fui Sing atas kejayaan beliau sebagai pemandu Driff.

Rahman bersama Goo Fui Sing.

Sementara itu, penerima anugerah kedua Goo Fui Sing yang berjaya mewakili negara dalam sukan permotoran di Songkhla International Speedway.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata melihat kepada kejayaan anak jati Kota Belud yang amat luar biasa ini merupakan suatu yang wajar dihargai dan diiktiraf.

“Sehubungan itu, kita akan mencadangkan kepada kerajaan untuk membina sebuah pusat pendidikan berskala tinggi seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kota Belud sebagai usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan kemahiran belia di daerah ini.

Rahman berkata demikian semasa merasmikan program ‘Santai Anak Muda Bersama Rahman Dahlan’ di Dewan Terbuka Datuk Haji Musbah pada Ahad.

Rahman turut mengumumkan pemberian dana khas lebih RM50,000 kepada setiap persatuan belia berdaftar dan aktif di daerah berkenaan. Setiap persatuan bakal menerima anggaran sekitar RM1000 setiap persatuan.

Bagi belia, Hafazuddin Raskin, 30, berkata program ini berjaya memberi inspirasi kepada dirinya terutama apabila mendengar sendiri pengalaman daripada dua tokoh ikon belia tersebut.

“Pelaksanaan program ini wajar sentiasa diteruskan kerana belia perlu sentiasa didekati dan perkongsian ini mampu memberi semangat kepada belia untuk terus mencipta kejayaan selain dapat menyampaikan pandangan dan cadangan terus kepada pemimpin,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda