
Laporan & Foto: Zuraidah Ahmad (Sabah)
RANAU, 1 Mei (Malaysiaktif) –Mewariskan kemahiran memasak makanan tradisi kepada anak-anak muda bukanlah perkara mudah.
Ini diakui sendiri suri rumah, Jasia Kasimin, 49, yang pakar dan menjadi rujukan terutama berkaitan resepi atau menu tradisi oleh rakan-rakan di kampungnya, Kundasang.
Jasia mewarisi kepakaran memasak daripada ibunya sejak berusia lapan tahun dan menu pertama dimasaknya ialah linopod iaitu nasi yang dilecek dan dibungkus dengan daun.
“Saya belajar memasak sejak berumur lapan tahun atas minat sendiri. Setiap hari, saya membantu ibu sibuk menyediakan makanan untuk keluarga di dapur.
“Jadi, lama-kelamaan timbul minat untuk memasak. Masakan yang pertama yang saya pelajari ialah menanak nasi. Setelah itu, saya belajar pula membuat linopot dan berhasil.
“Kemudian, saya belajar lagi beberapa menu yang biasa dimasak di rumah dan resepi yang dihidang pada majlis atau keramaian di kampung.
“Kemahiran ini saya perturunkan kepada anak-anak saya sejak mereka kecil lagi dan alhamdulillah kini mereka sudah boleh mememasak masakan tradisi kami.
“Berkenaan usaha mewariskan menu ini kepada golongan muda terutama yang tinggal di bandar, saya berpendapat bukan mudah kerana mereka lebih gemar makanan segera dan bahan-bahannya mudah didapati di pasar raya.
“Paling jelas, pada majlis keramaian, golongan muda yang hidup di bandar apabila datang ke kampung, mereka tidak meminati masakan tradisi dan ada juga yang langsung tidak mengetahui nama menu yang dihidangkan,” ceritanya.
Sementara itu, rakan karibnya, Anne Gindalu, 41, turut berkongsi kebimbangan yang sama. Dia yang mempunyai enam anak dan dua cucu sentiasa memberi galakan kepada keluarga dan sanak-saudaranya agar tidak melupakan menu tradisi warisan nenek moyang mereka.
Dia yang pernah muncul dalam salah sebuah program memasak di tv1 baru-baru ini, mengakui kemahiran tersebut diperoleh daripada keluarga serta rakan-rakan.
Anne bersama Jasia serta dua lagi teman karib, Haslindah Rasni, 42, dan Kulina Joumi, 40, ditemui pada Program Negaraku @Komuniti di Kampung Lohan Ranau, pada Ahad.
Program tersebut dirasmikan Pemimpin Pemaju Masyarakat N31 Paginatan, Georgina George mewakili Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Siringan Gubat.
Empat sahabat itu juga merupakan Ahli Jawatankuasa K1M Kundasang yang dipimpin oleh Suatin Mayor, 58, dan mereka aktif menjalankan perkhidmatan penyajian makanan untuk majlis-majlis tertentu yang ditunjangi menu tradisi etnik Dusun.
Antara sajian yang dipamerkan pada program berkenaan ialah komis wagas (tapai beras merah), komis mudok (tapai ubi kayu), mundok (ubi kayu rebus), kasou (ubi manis ), tumpuk gipun (pucuk rumput), sup tutan (sup rumput), linopot atau nasi belugu, tuntul dukaruk (siput sedut masak lemak), ikan talapia parasakan (pekasam), suki (air tapai manis daripada ubi kayu) dan tuhau.
Paling signifikan, bahan-bahan yang digunakan semuanya asli dari kampung, tanpa perasa tambahan, tanpa pengawet dan tidak membahayakan kesihatan.
Lebih menarik, semua menu yang disediakan dipersembahkan di dalam buluh dan kelihatan sangat menarik.
Turut hadir, wakil Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Ahmad Fauzi Lamsin; Pengerusi Komuniti 1Malaysia (K1M) Lohan, Lasiman Kumbas dan mantan Datuk Bandar DBKK, Datuk Abidin Madingkir.
–SF