Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ragbi Produk Pelancongan Terbaharu Papar

By 2 Mei 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan: Mohammad Abdul Rahman /Foto: Rafiqa Dahali & Mohammad A.Rahman (Sabah)

PAPAR, 2 Mei (Malaysiaktif) –Penganjuran kali pertama Kejohanan Ragbi di daerah ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih 50 pasukan dari seluruh Sabah, Semenanjung dan Sarawak.

Sambutan yang menggalakkan membolehkan sukan berkenaan membantu mempromosi dan sesuai dijadikan produk pelancongan daerah.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen, kali ini dapat saksikan banyak pasukan berbakat besar memperlihatkan kelebihan ragbi yang wajar diketengahkan dan terus dianjurkan di negeri ini.

“Melihat kepada kejayaan penganjuran sukan ini pada hari ini, saya bersama persatuan turut merancang untuk menganjurkan program seperti ini pada hujung Julai ini.

Jelasnya, kejohanan berbentuk sukan seperti ragbi ini dilihat baik dan berjaya membuka mata penggemar sukan ragbi malah memberi inspirasi kepada sukan lain untuk mengadakan kejohanan seumpamanya di daerah ini.

“Sebagai pemimpin di kawasan ini, kita rasa berbangga kerana kejohanan ini dapat mengangkat Papar sebagai sebuah lokasi pelancongan melalui penganjuran sukan seumpamanya,” katanya semasa merasmikan Kejohanan Ragbi Papar 7s Challenge, Piala First Mayor Kota Kinabalu di Padang Pekan Papar pada petang Ahad.

Pasukan Lady Sharks lawan Tunku Titans beraksi di Padang Pekan Papar

Aksi Lady Sharks menentang Tunku Titans di Padang Pekan Papar

Katanya lagi, mantan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Brigedier Jeneral Bersara Datuk Ghani Abdul Rashid selaku Presiden Persatuan Ragbi Papar, merupakan antara orang awal yang memperkenalkan sukan ini di Sabah.

“Walaupun beliau meninggalkan Ragbi selama 13 tahun tetapi jiwa dan minatnya terhadap sukan masih membara.

Rosnah turut berkata pembinaan Kompleks Sukan Papar yang diluluskan dua tahun lepas dijangka akan dibina di tanah seluas 50 ekar di sekitar kawasan Beringgis dalam masa terdekat.

“Pada ketika ini kita terus berusaha memohon agar kerajaan dapat menambah sedikit peruntukan dalam menaik taraf terhadap kompleks sedia ada terutama pada kerja-kerja memperbesarkan fasiliti di padang ini seperti astaka serta padang sesuai untuk kegunaan sukan ragbi dan pelbagai sukan di daerah ini.

Seramai lebih 1000 peserta ragbi beradu tenaga dalam 60 perlawanan berlangsung sejak dua hari penganjuran pada Sabtu di Padang Pekan Papar dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir yang melibatkan sebanyak 71 pasukan.

Dalam pada itu, pemain ragbi, Roshah Helan Osman, 25, berkata penganjuran ini amat baik kepada para belia dan perlawanan tahun ini sengit, terutama dengan kemunculan beberapa pasukan berpengalaman, yang memiliki kemahiran dan kepantasan lebih baik seperti pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, iaitu ‘Lady Shark’ dan ‘KK Shark’.

“Selain itu, pasukan seperti Maktab Sains Sabah (MSB) Kota Kinabalu, Sabah Oscar Warrior Club dan Sabah Oscar Warrior Angel Club masing-masing merupakan pasukan ragbi berpengalaman di negeri ini.

MRSM Tawau juara Cup Kategori Bawah 17, mengambil gambar kenangan bersama Rosnah (Tengah)

MRSM Tawau Juara Cup Kategori Bawah 17

“Kehadiran dan penyertaan pasukan ini banyak memberi suntikan semangat kepada pasukan ragbi di daerah ini selain turut berjaya menarik orang ramai memeriahkan kejohanan ini.

Jelasnya, perlawanan kategori bawah umur 19 dan wanita terbuka di padang Pekan Papar memperlihatkan ketangkasan belia dan menunjukkan ragbi juga sesuai dimainkan oleh wanita.

“Pasukan tuan rumah dan pasukan lain perlu ambil sedikit ilmu daripada penganjuran ini terutama apabila ingin memberi saingan hebat perlu melakukan ‘scrub’ dan ‘touch down’ pada lima minit pertama kerana teknik tersebut mampu memberi tekanan kepada lawan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Rosmazlan Abdul Rashid berkata perjalanan kejohanan kali ini amat menarik dan bersyukur tiada berlaku sebarang kecederaan serius.

“Semua pasukan dalam kategori bawah 19, Wanita Terbuka, bawah 17 dan 15 di padang Pekan dan padang SMK Majakir telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

Ujarnya, semua pasukan terlalu hebat untuk menentukan siapa bakal pemenang kerana pasukan baharu telah memberi saingan hebat kepada pasukan berpengalaman.

Pada kejohanan tersebut, pasukan Sabah Oscar Warrior Club Development (kumpulan B) muncul juara kategori bawah 19 sekali gus berjaya merangkul Piala Pusingan First Mayor KK, selepas menewaskan Papar Rajawali (kumpulan A), dengan keputusan 34 – 0

Manakala Sabah Oscar Warrior Angel (kumpulan A) dinobatkan Juara Final Cup kategori Wanita Terbuka, selepas menentang Lady Shark, dengan keputusan 5 – 0.

Bagi kategori bawah 17, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau menjuarai Final Cup menentang SMESH dengan keputusan 14-12.

Bagi kategori bawah 15, Sekolah Menengah Sains Miri dinobat Juara setelah mengalahkan Pasukan Sabah Collage, dengan keputusan 17-12.

Beberapa pasukan turut menerima Piala kategori Plate yang dimenangi oleh Pasukan Papar Rajawali, St Micheal, Keningau Angles dan KK Shark Development yang mendapat johan, masing-masing dalam kategori bawah 15, 17, wanita terbuka dan bawah 19.

Selain itu, empat pasukan, SMK Luar Bandar Miri, TSR Knight, SMK Tansau Wolves dan Nabawan turut menerima Piala Fair Play.

Manakala MRSM Tawau, Kudat Black Crow, Sisterakas, Kudat BC dinobatkan Johan bagi kategori Bowl.

MRSM KKB, Tunku Titans KVK Developement pula diumumkan Juara kategori  Shields.

SF

Tinggalkan komen anda