Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Biskut Tongkat Gamit Kenangan Lama

By 14 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh M Zakry Chan (Melaka)

JASIN, 14 Jun (Malaysiaaktif) – ‘Ingat Simpang Bekoh, ingat biskut tongkat’ merupakan slogan iklan atau ‘tagline’ Biskut Tongkat Simpang Bekoh yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

Menurut pengurus Koperasi Simpang Bekoh Sdn Bhd, Abdul Halim Abdul Ghani, kesungguhan dan kerjasama masyarakat kampung dalam pertandingan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) sehingga berjaya di peringkat kebangsaan membawa rahmat apabila dinobatkan sebagai Desa Lestari 2015.

Abdul Halim menerangkan proses membuat Biskut Tongkat

Abdul Halim menerangkan proses membuat Biskut Tongkat

Kejayaan ini telah membuka lebih peluang kepada masyarakat kampung dalam meningkatkan pendapatan selaras dengan matlamat Program Desa Lestari yang merupakan salah satu inisiatif Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam usaha mentransformasikan desa menjadi sebuah kawasan yang maju dengan penduduk berpendapatan tinggi.

“Dengan penawaran projek daripada KKLW atas kemenangan dalam pertandingan ADS1M, saya telah memilih untuk melaksanakan perusahaan biskut tongkat dengan bantuan geran sebanyak RM1juta yang disalurkan untuk membina kilang dan kelengkapan seperti mesin, lori dan keperluan pejabat.

Proses penghasilan Biskut Tongkat dijalankan dengan teliti untuk menjamin kualitinya

Proses penghasilan Biskut Tongkat dijalankan dengan teliti untuk menjamin kualitinya

Biskut Tongkat dibungkus dan siap untuk dipasarkan

Biskut Tongkat dibungkus dan siap untuk dipasarkan

“Biskut tongkat mempunyai ‘sentimental value’ yang menggamit nostalgia dalam kehidupan masyarakat kita. Selain itu, pasaran biskut tongkat yang luas dan dimonopoli bukan bumiputera menjadikan saya bertekad menjalankan perusahaan ini sebagai industri desa yang berjaya, dan yang paling penting, supaya pemuda dan pemudi kampung tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan,” jelas Halim yang kini mempunyai lima orang pekerja sepenuh masa.

Mesin pembakar yang bakal digantikan dengan mesin yang lebih besar untuk menampung permintaan pengguna.

Mesin pembakar yang bakal digantikan dengan mesin yang lebih besar untuk menampung permintaan pengguna.

Tambahnya, pengeluaran 200 bungkus biskut tongkat sehari sememangnya tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat kerana masalah mesin pembakar (oven) yang berkapasiti kecil.

Norashiken Othman seorang pekerja di kilang Biskut Tongkat Simpang Bekoh

Norashiken Othman, seorang pekerja di kilang Biskut Tongkat Simpang Bekoh

“Namun begitu, peruntukan daripada Jabatan Pertanian dan Peladang Kawasan telah diluluskan untuk membeli mesin berkapasiti lebih besar untuk menampung keperluan pasaran. Saya tidak berani memasuki pasaran pasar raya kerana kekangan untuk memaksimumkan pengeluaran belum dicapai.

Penghantaran Biskut Tongkat mengunakan POS

Penghantaran Biskut Tongkat mengunakan POS

“Pemasaran biskut tongkat buat masa sekarang lebih kepada pelanggan yang datang sendiri ke kilang dan yang membuat pesanan dalam talian dan saya menggunakan perkhidmatan Pos Laju untuk penghantaran. Biskut Tongkat Simpang Bekoh ini telah mendapat perhatian masyarakat walaupun hanya mula beroperasi pada Januari 2017,” jelasnya.

 

Peminat biskut tongkat, Salmiah Dolah, 40, berkata Biskut Tongkat Simpang Bekoh ini berbeza daripada biskut tongkat yang ada di pasaran kerana bahan yang digunakan amat berkualiti membuatkan bau harum biskut itu menyelerakan selain rasanya yang berlemak dan keranggupannya menambahkan lagi selera.

Salmiah Dolah

Salmiah Dolah

“Selain itu, produk ini adalah produk bumiputera dan lebih penting, telah mendapat pensijilan ‘Halal’ daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), pembungkusan produk yang menarik dan menepati ciri keselamatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ‘Makanan Selamat Tanggungjawab Industri’ (MeSTI),” ujar Salmiah.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda